suria

‘Pak guard’ tangkap pencuri ditukar kerja dari Dungun ke KL... Rupanya angkara kawan ‘tikam belakang’

Pok Li kini sedang aktif mencari pekerjaan baharu di sekitar Dungun, Terengganu.

MELAKSANAKAN amanah dan tanggungjawab dalam melakukan pekerjaan merupakan sesuatu yang dituntut dan ia juga ibadah dalam agama Islam.

Namun lain pula ceritanya dengan lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Pok Li ini apabila dia mendakwa 'dihukum' majikannya selepas berjaya menangkap seorang pencuri di sebuah sekolah.

Pok Li, 43, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah kebangsaan di Dungun, Terengganu berkata pencuri berkenaan ditangkap ketika memecah masuk pejabat sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir.

Ketika dihubungi mStar, Pok Li memberitahu kejadian berlaku sekitar pukul 5 pagi pada 1 Disember lalu ketika dia dan seorang lagi rakan bertugas untuk syif malam.

guard

Antara tugas utama pengawal keselamatan termasuk melakukan rondaan berkala di kawasan yang ditetapkan.

“Sebagai pengawal keselamatan, kami ada waktu rondaan yang sudah ditetapkan. Rondaan dilakukan secara bergilir-gilir dengan seorang lagi rakan sekerja.

“Selepas selesai melakukan rondaan, saya dengar mangsa banjir riuh memberitahu ada orang pecah masuk pejabat sekolah.

“Jadi, saya dengan pantas mengambil telefon untuk menangkap gambar pelaku sebagai bukti, lalu berjaya menangkap lelaki berkenaan dan diserahkan kepada pegawai yang bertugas di PPS. Dia curi wang tunai RM90 milik sekolah,” katanya kepada mStar.

Bagaimanapun menurut Pok Li yang bekerja hampir 19 tahun sebagai pengawal keselamatan, cerita mengenai tangkapan pencuri itu berubah 360 darjah apabila dia didakwa culas dalam melaksanakan tugas.

Ini kerana seorang lagi rakan sekerja yang bertugas bagi syif siang mendakwa dia adalah orang bertanggungjawab menangkap pencuri berkenaan dan bukannya Pok Li.

ARTIKEL BERKAITAN: Seram sejuk kerja syif malam raya... guard meracau muncul ‘tetamu tak diundang’, rebah selepas diminta pandang atas

ARTIKEL BERKAITAN: Nak masuk Navy tapi sebab satu tragedi, terpaksa jadi ‘kakak guard’... siap dapat tangkap pencuri - “Ibu cadangkan, saya fikir banyak kali”

Sedangkan, kata Pok Li dia mempunyai bukti bergambar yang menunjukkan pencuri terbabit sudah ditangkap pada pukul 5 pagi iaitu ketika syif dia bertugas.

“Kami berempat ditugaskan untuk menjaga sekolah berkenaan. Dua orang untuk syif malam dan dua lagi bertugas waktu siang.

“Saya hanya melaporkan kejadian berlaku kepada Pegawai Ronda (penyelia operasi) bertugas kerana ketika banjir tiada guru yang hadir ke sekolah.

“Entah macam mana, seorang lagi rakan yang kerja syif siang tukar cerita dan menuduh saya tidak buat kerja. Sedangkan bukti mata ada,” ujarnya kecewa.

Terdahulu kisah Pok Li tular selepas ia dikongsikan di media sosial oleh rakannya.

Saya perlu dapatkan pampasan kerana dianiaya... ada keluarga yang perlu saya sara.

POK LI

PENGAWAL KESELAMATAN

Susulan kejadian, bapa kepada empat orang cahaya mata itu dikejutkan lagi apabila pada 3 Disember lalu dia menerima surat arahan pertukaran tempat bertugas dari Dungun, Terengganu ke Kuala Lumpur serta-merta.

“Saya diberikan surat untuk tukar ke Kuala Lumpur serta-merta. Saya tak dapat nak ikut arahan itu kerana ada keluarga yang perlu diuruskan.

“Tambahan pula, untuk pergi ke Kuala Lumpur tu saya perlukan modal untuk mulakan kehidupan baharu. Bukan sikit belanja yang perlu ada.

“Jadi saya tak tandatangan surat berkenaan dan membiarkan keadaan tergantung sehingga kini. Saya juga masih belum menerima gaji untuk bulan November 2024,” dakwa Pok Li lagi.

Tambah Pok Li, berdasarkan surat pertukaran itu dia perlu melapor diri di Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu namun dia tidak berbuat demikian.

Menerusi surat yang turut dikongsikan kepada mStar, Pok Li dikehendaki melaporkan diri di syarikat penyedia perkhidmatan kawalan keselamatan itu bagi cawangan Kuala Lumpur.

Interview security company on incidences of guard bullying. —SAMUEL ONG/The Star  (pictures for metro use only)Reporter: Bavani

Pengawal keselamatan penting untuk menjaga keselamatan nyawa dan harta benda. - Ini gambar hiasan.

Dinyatakan juga bahawa syarat perkhidmatan adalah tidak berubah, penginapan disediakan dan kos tiket bas dari Dungun ke Kuala Lumpur akan ditanggung syarikat.

Menerusi surat sama, majikannya turut mengingatkan bahawa kegagalan Pok Li berbuat demikian akan dianggap dia tidak berminat untuk meneruskan tugas dan perkhidmatannya boleh ditamatkan serta-merta.

Namun ujar Pok Li, dia kini sedang dalam proses membawa perkara ini kepada pihak berkaitan untuk mendapatkan keadilan.

“Saya perlu dapatkan pampasan kerana saya dianiaya. Ada keluarga yang perlu saya sara.

“Isteri saya suri rumah dan ada ketika dia membantu ekonomi keluarga dengan menjual popia sardin dan popia carbonara cheese sejuk beku. Tapi, musim hujan tak banyak orang keluar untuk membeli,” jelasnya.

Katanya lagi, dia tidak mengharapkan sumbangan tetapi ingin mencari kerja baharu sebagai pengawal keselamatan di sekitar kawasan Dungun.

“Saya sedang mencari kerja. Dengan pengalaman yang ada, saya yakin dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal majikan.

“Sebelum ini saya tiada masalah disiplin atau jenayah. Saya juga mudah mesra dengan semua.

“Semoga ada rezeki buat saya dan keluarga,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain