TIDAK mendapat restu keluarga dan poligami sering menjadi faktor segelintir pasangan mengambil keputusan untuk bernikah di Thailand. Namun, sebenarnya banyak lagi faktor yang menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan bernikah di negara jiran. Menerusi satu hantaran di laman sosial, seorang wanita mendakwa dia memilih untuk bernikah di selatan Thailand kerana sijil nikah ibu bapanya tiada dalam rekod sistem jabatan agama negeri. Setiap pasangan mengimpikan perkahwinan yang meriah dan berjalan lancar. -Gambar hiasan "Sijil fizikal ada tetapi bila semak tiada dalam sistem dan saya terpaksa ulang alik pergi ke negeri ibu ayah nikah untuk pengesahan. "Akhirnya, pejabat agama Islam daerah keluarkan surat yang ibu ayah tak daftar nikah, jadi mereka suruh daftar di Kuala Lumpur," dakwanya. Untuk rekod, surat perakuan nikah ibu bapa atau surat perakuan cerai yang tercatat tarikh nikah (jika ibubapa pemohon telah bercerai) merupakan antara dokumen asas pemohon perempuan bagi permohonan untuk kebenaran berkahwin. Tanpa mendedahkan lokasi negeri, wanita itu turut mendakwa perkara yang melibatkan sijil nikah ibu bapanya perlu dirujuk kepada mahkamah terlebih dahulu. Pada masa sama, dia mengakui banyak masa dan wang dihabiskan selain perlu mengambil cuti menguruskan hal berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah nikah di Siam 28 tahun lalu tapi tak pernah daftar, tak ingat berapa kali cerai, rujuk... Nasab 10 anak diragui! ARTIKEL BERKAITAN: Nikah di Thailand sah tapi boleh jadi haram dan dosa besar - Ustaz Azhar Idrus "Ibu saya sudah meninggal dunia, ayah saya tengah sakit. Saya dan suami duduk jauh waktu sebelum berkahwin. "Ulang-alik ke jabatan agama, mahkamah. Naik kereta api ke negeri tempat ayah ibu nikah. Cuti habis sebab uruskan hal ini sahaja," luahnya. Menurut wanita itu lagi, majlis perkahwinan semakin hampir dan bayaran tempahan untuk mengadakan kenduri juga sudah dibuat tetapi isu sijil nikah ibu bapanya itu menyebabkan urusan pernikahan tergendala. Bukan mengalah tetapi penat. Saya betul-betul nak daftar nikah. WANITA "Lagi sembilan hari nak majlis. Saya ada dua kakak yang dah berkahwin di Malaysia guna sijil nikah ibu ayah yang sama. "Tiada isu, semua berjalan lancar tetapi sampai giliran saya jabatan agama tak dapat teruskan," katanya. Disebabkan masa semakin suntuk dan proses mengambil masa serta tiada respons daripada pihak berkenaan, maka dia dan suami membuat keputusan untuk bernikah di Thailand. "Kami nikah ikut cara yang betul. Ayah pun setuju. Surat konsulat daftar di Thailand semua lengkap sebab kami memang betul-betul kaji dan bukan guna jalan tikus. "Kami pun dah hadir bicara di mahkamah rendah syariah pada Oktober dan diarahkan untuk bawa wali dan dua orang saksi," katanya. Namun, disebabkan menggunakan wali dan saksi yang sedia ada di pejabat agama di negara jiran, dakwanya, penolong hakim memintanya membawa dua saksi keberadaan bapanya sewaktu berlaku pernikahan. Segelintir pasangan membuat keputusan untuk bernikah di negara jiran. -Gambar hiasan "Ada kakak dan abang ipar waktu jaga ayah semasa nikah tetapi mereka tak dapat hadir sebab uruskan anak sekolah. "Jadi saya buat keputusan untuk bawa ayah sendiri ke mahkamah, walaupun dia tak sihat. Saya terpaksa demi daftar nikah di Malaysia," katanya. Wanita itu mengakui apa yang berlaku memenatkan dan pada masa sama katanya, bapanya seharusnya turut bertanggungjawab melibatkan pernikahan mereka. "Saya terlalu penat, bukan mengalah tetapi penat. Saya betul-betul nak daftar nikah, ayah pun beri izin nikah di sana. "Waktu bicara pun kami tadah telinga dengan hakim, kena marah, benda salah dan kami akui," katanya. Jika dia menundakan majlis perkahwinan, jelasnya, segala bayaran yang sudah dibuat 'hangus' dan ia akan membebankan mereka. "Kasihan suami dapat isteri macam saya. Menyusahkan dia, puncanya dari ibu ayah saya dan yang teruknya saya. Malu saya pada keluarga mentua," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube