KURANG seminggu lagi sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, pasti golongan isteri sudah melakukan pelbagai persiapan untuk seisi keluarga.
Bagi yang sudah membeli ataupun mengambil tempahan baju raya daripada tukang jahit, sudah pastinya mereka sedang kalut mencui mahupun menggosok lebih awal agar tidak kelam-kabut.
Dalam kemeriahan warga maya berkongsi persiapan raya masing-masing, video yang dimuat naik seorang wanita mencuri tumpuan gara-gara samping baju Melayu milik suami yang dicucinya bertukar menjadi seperti kain yang bergumpal-gumpal.
Wanita berkenaan mengakui tidak mengetahui bahawa kain samping diperbuat daripada songket tenun tidak boleh dibasuh seperti fabrik lain.
"Macam mana nak bagi samping ni lurus balik? Matilah aku. Kenapa jadi macam ni," tulisnya pada kapsyen video berkenaan.
Menurut wanita berkenaan, dia sama sekali tidak mengetahui bahawa kain samping daripada songket tenun tidak boleh dicuci seperti fabrik pakaian yang lain.
"Tak semua orang tahu. Kalau tahu, takkan la kita nak buat benda ni," luahnya.
Apa yang membuatkannya bertambah runsing dan gelabah, samping yang diperbuat daripada kain songket tenun itu dibeli di Negeri Sembilan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tengok harga pasaran, wanita tak cadang beli baju raya... Anggap tak siapa pun peduli jika pakai pakaian lama
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi pagi raya, sempat pakai sejam je... Ayah kata “Dah tahu baju labuh nak bawa motor juga”
"Sekarang saya dekat Labuan. Tengah fikir macam mana nak dapat yang serupa ini. Saya sorok dulu tak apa kan? Sambil cari jalan (penyelesaian)," tulisnya lagi.
Perkongsian berkenaan meraih sehingga 5.2 juta jumlah tontonan selain dibanjiri ribuan komen netizen.
Ada segelintir yang mengecam wanita berkenaan namun ramai yang tidak lokek berkongsi petua untuk mengembalikan sampingnya kepada keadaan asal.
Tak semua orang tahu. Kalau tahu, takkan lah kita nak buat benda ni.
PENGADU
"Samping songket tak boleh cuci dalam mesin. Kena dry cleaning.
"Cara basuh samping, rendam dalam Softlan atau Downy 15 minit. Angkat jemur jangan perah air dekat samping, biar kering sendiri dulu. Terpulang nak jemur bawah kipas atau luar. Dah kering baru gosok samping.
"Saya bekas pekerja dobi sis, kalau samping customer jadi macam ni kami gosok je tapi kena tarik kuat untuk bagi dia straight macam asal balik," demikian antara komen netizen.
Dalam perkongsian berasingan, wanita tersebut memuat naik video samping suaminya yang sudah kembali kepada asal selepas dia mengikut petua yang diberikan oleh seorang pelayar.
Antara komen netizen terhadap perkongsian berkenaan.
"Samping suami saya dah kembali kepada bentuk asal walau ada damage, benang belah dalam dah putus-putus.
"Saya sayang samping ni sebab suami beli untuk pakai raya. Walau suami tak marah dan cakap nanti beli lain, saya tetap nak betulkan samping ni.
"Terima kasih semua yang bagi tip, terima kasih juga semua yang nak bantu saya. Semoga Allah permudahkan urusan kamu, Allah lipat gandakan rezeki kamu kerana berbuat baik," tulisnya lagi.