suria

Isteri meninggal awal Ramadan, mualaf 4 anak buntu tiada kerja... Hidup berhimpit di bilik sewa - “Di situ tidur, memasak”

Seorang mualaf hanya mampu menyewa sebuah bilik untuk empat anaknya.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Seorang mualaf di Sandakan, Sabah hidup dalam keadaan serba daif di sebuah bilik sewa bersama empat anaknya yang masih kecil.

Lebih menyedihkan, Tang Ho Huat atau Muhammad Syawal Tang Abdullah, 55, juga baru kehilangan isterinya yang meninggal dunia pada 3 Ramadan lalu.

Wan (kanan) hadir bertemu Uncle Syawal (tengah) bagi menyampaikan sumbangan bakul makanan.

Kisah sedih mualaf itu diceritakan aktivis kebajikan Mohamad Kadir Abd Jalil atau Wan, 29, yang datang menziarahi keluarganya pada Ahad lalu.

"Uncle Syawal berasal dari Pulau Pinang. Sudah 10 tahun dia berpindah ke Sabah. Dia memiliki empat orang anak. Anak sulung umur sembilan tahun, yang bongsu usia tiga atau empat tahun.

"Isterinya meninggal pada hari ketiga Ramadan. Isterinya sakit secara tiba-tiba. Isterinya tiada dokumen, saya difahamkan arwah orang Filipina.

Mereka sekeluarga tinggal dalam bilik itu. Di situ tidur, di situ juga memasak.

MOHAMAD KADIR ABD JALIL

AKTIVIS KEBAJIKAN SABAH

"Anak-anak mereka juga tiada sijil kelahiran dan tak bersekolah. Saya juga tanya kenapa selama ini tak buat surat kahwin, dia kata sebelum ini gaji cukup-cukup saja," ujar Wan kepada mStar.

Menurut Wan, mualaf itu juga sudah tidak bekerja sejak Januari dan kini berdepan masalah kewangan untuk melunaskan bayaran sewa bilik.

"Menjelang hujung Ramadan, kita memang mencari asnaf untuk hulurkan sumbangan. Jadi, saya dapat tahu mengenai Uncle Syawal daripada seorang kawan.  

ARTIKEL BERKAITAN: Ditemui di tapak pelupusan sampah, tiba-tiba menangis teresak-esak! Sedih tak dapat bantuan, siapa sebenarnya kanak-kanak ini?

ARTIKEL BERKAITAN: Bawa calon UPSR makan KFC, lelaki ini tersentak dengar alasannya tak selera makan ayam, “Saya terus pakai spek hitam...”

"Uncle Syawal sebenarnya bekerja sebagai tukang bungkus ikan dan udang di sebuah kilang. Tapi dia dah tak kerja sejak Januari sebab tak dipanggil oleh kilang itu.

"Dia juga sudah dua bulan tak bayar sewa bilik. Kadar sewa adalah RM300 sebulan. Mereka sekeluarga tinggal dalam bilik itu. Di situ tidur, di situ juga memasak," cerita Wan lagi.

Dalam kunjungan pada Ahad malam, Wan membawa sumbangan bakul makanan yang ditaja oleh Tadika Little Caliph buat keluarga itu.

Mereka sekeluarga tinggal di bilik sewa ini dengar bayaran RM300 sebulan.

Menurut Wan, mualaf tersebut merancang untuk mencari kerja baharu, namun kini berdepan dilema memandangkan tiada sesiapa yang akan menjaga anaknya.

Namun kata Wan, dia sedang berusaha untuk menempatkan anak-anak mualaf itu di rumah anak yatim, sekali gus dapat memberi kehidupan lebih baik buat mereka.

"Kerisauan dia sekarang ni pasal dokumen anak-anak. Dia juga dalam dilema. Kalau kerja, tiada siapa nak jaga anak. 

Sumbangan yang dibawa buat keluarga itu.

"Jadi kita ada rancang untuk masukkan anak-anaknya ke rumah anak yatim. Antara lain, kami juga merancang untuk hantar baju raya buat keluarga Uncle Syawal sebelum Aidilfitri," kata Wan lagi.

Menurut Wan, dia mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu memberi sumbangan buat keluarga itu.

Mereka yang berminat untuk menyalurkan bantuan holeh menghubungi Wan menerusi akaun Facebook Padaedi Sandakan.

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain