BERAT badan turun sehingga 20 kilogram, pelakon Adam Lee menjelaskan dia hanya mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengawal pengambilan gula dan bersukan. Malah Adam atau nama sebenarnya Muhamad Arif Adam Mohamed Fadlee, 30, menafikan yang berat badannya turun bukan disebabkan menghidap sebarang penyakit atau pun sihir. “Berat badan turun sebab kurangkan pengambilan gula sebab sebelum ini saya adalah pencinta makanan manis dan memang sangat dasyat. Daripada berat saya 93 kilogram (kg), kini hanya 74kg. "Pengambilan nasi masih macam biasa cuma pencuci mulut sahaja saya kurangkan selain aktif dengan aktiviti sukan seperti futsal, muay thai. "Saya tidak ada sebarang penyakit atau 'sakit' disebabkan orang hantar. Semua itu tiada. Diet ini saya lakukan sejak sebelum bulan Ramadan lalu kerana ingin jaga kesihatan dan berat badan lebih ideal,” katanya kepada mStar. Adam juga mengakui, antara sebab dia mahu menurunkan berat badan kerana ada produser yang menawarkannya watak bapa disebabkan penampilannya sebelum ini. “Bila saya tengok balik saya berlakon semasa badan saya besar, memang sedih. Ada poduser yang tegur, kata nak bagi saya watak bapa-bapa. Kemudian dia kata, saya kena turunkan berat badan kalau mahu watak yang saya inginkan,” ujarnya. Dalam masa sama, Adam juga mengakui pernah terleka daripada menjaga pemakanan sejak mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Sweet Qismina. “Saya sebenarnya lepas kawin saya terlupa yang saya pelakon. Kemudian isteri tegur berat badan semakin naik selain melihat ramai pelakon lain sedang menjaga badan. "Semua itu buat saya sedar dan terus ambil keputusan untuk dapatkan berat badan lebih ideal dan 'fit' seperti hari ini," tuturnya. TONTON VIDEO PENUH DISEDIAKAN MSTAR INI.