PENYANYI Indonesia Glenn Fredly meninggal dunia kira-kira pukul 6 petang (waktu Indonesia), Rabu. Seperti dipetik Antara News, penyanyi yang berusia 44 tahun itu dikhabarkan meninggal dunia akibat penyakit meningitis atau radang otak. Glenn yang popular dengan lagu Januari itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di rumah sakit Setia Mitra, Jakarta Selatan. Berita sedih itu juga dikongsikan oleh rakan baiknya Tompi menerusi aplikasi WhatApps kepada media berkenaan. Gambar kenangan Glenn bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza. "Telah meninggal dunia saudara kami, Glenn Fredly, malam ini. Mohon dimaafkan semua salahnya. Dia yang selalu hadir menggerakkan kita semua," tulis Tompi. Glenn meninggalkan seorang isteri Mutia Ayu dan seorang anak perempuan Gewa Atlana Syamayim Latuihamallo yang dilahirkan pada Februari lalu. Mendiang memulakan kerjaya sebagai anak seni secara profesional pada tahun 1995 selepas memenangi sebuah pertandingan nyanyian. Glenn mencipta nama di Malaysia menerusi lagu Januari, Adu Rayu, Sekali Ini Saja dan Akhir Cerita.