PELAKON dan penyanyi Jennifer Lopez mendedahkan perancangannya untuk berkahwin dengan Alex Rodriguez terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19. Menurut laporan Elle, Jennifer berkata dia terpaksa menunggu waktu yang sesuai sebelum meneruskan majlis tersebut. "Ia sedikit sebanyak memberikan kesan (rancangan perkahwinan). Jadi kita tengok sahaja apa berlaku sekarang, sejujurnya saya tidak tahu apa berlaku sekarang termasuklah tarikh untuk hal-hal itu. "Ini sesuatu yang harus kita tunggu dan lihat dalam beberapa bulan, bagaimana semua ini berjalan baik," katanya ketika di temubual program Ellen DeGeneres Show, pada Selasa lalu. Jennifer dan Alex bertunang pada Mac lalu, namun merahsiakan mengenai maklumat perkahwinan mereka. Bercakap mengenai aktiviti sepanjang tempoh kuarantin ini, penyanyi lagu On The Floor berkata dia menggunakan masa terluang bersama keluarga tercinta. "Saya sibuk dengan kerja beberapa tahun terakhir ini, jadi rasa senang berada kat rumah. "Saya pun baru sahaja selesai penggambaran beberapa minggu lalu, jadi kuarantin ini sedikit menyenangkan kami sekeluarga," ujarnya.