PIHAK pengurusan Glenn Fredly iaitu Bumi Entertainment akan menyiarkan proses pengebumian secara langsung menerusi laman Instagram mereka pada Khamis. Menurut laporan CNN, hal itu dilakukan atas permintaan ahli keluarga supaya orang ramai tidak datang bagi memberikan penghormatan terakhir memandangkan penularan wabak Covid-19. ARTIKEL BERKAITAN: Glenn Fredly meninggal dunia akibat radang otak "Kami akan melakukan siaran secara langsung menerusi laman Instagram, jadi rakan-rakan dapat melihat proses pengebumian tanpa perlu datang," katanya. Dalam pada itu, ahli keluarga turut meminta doa dari orang ramai untuk Glenn dan memohon maaf atas kesilapan yang pernah arwah lakukan semasa hidupnya. Glenn Fredly yang beragama Kristian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Umum, Tanah Kusir, Jakarta selepas ibadah pelepasan pada Khamis. Penyanyi yang popular dengan lagu Januari meninggal dunia pada umur 44 tahun di hospital Setia Mitra, Jakarta akibat penyakit meningitis atau radang otak pada Rabu. Glenn meninggalkan seorang isteri, Mutia Ayu dan seorang bayi perempuan, Gewa Atlana Syamayim Latuihamallo yang baru berumur 1,5 bulan.