suria

Terlalu paranoid dengan Covid-19, Donita panaskan puding baru dibeli sampai cair

Donita takut jika barangan dari luar yang dibeli membawa virus Covid-19.

PENULARAN jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti menimbulkan kebimbangan masyarakat sehinggakan ada yang menjadi paranoid dan takut untuk berada di tempat awam.

Ini turut dialami oleh pelakon terkenal Indonesia, Donita yang mengakui tidak berani untuk ke pasaraya dan hanya membeli barangan secara atas talian.

Kata Donita, setiap barangan yang dihantar ke rumah perlu disinfeksi atau nyah kuman terlebih dahulu sebelum digunakan.

Malah, makanan yang dipesan juga akan melalui proses yang sama sehingga ia benar-benar selamat untuk dimakan.

"Saya sekarang belanja semuanya secara online, tak pergi mana-mana dah! Di rumah saya ada satu lokasi untuk nyah kuman, barangan yang dalam plastik kita akan disinfeksi terlebih dahulu, barangan yang berasaskan besi kita biarkan beberapa hari sebelum di bawa masuk.

"Kalau makanan pun kena panaskan dahulu. Makanan yang tak boleh dipanaskan itu buat saya bingung," katanya menerusi satu rakaman program video di laman YouTube.

Sementara itu, suaminya iaitu Adi Nugroho mendedahkan Donita pernah memanaskan puding yang baru dibeli sehinggakan makanan itu hancur dan rosak.

"Dia pernah panaskan puding sampai hancur. Saya tanya dia... ini apa? kenapa bentuknya berubah jadi macam air lautan gitu!" cerita Adi.

SUMBER: Kapanlagi

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain