KUMPULAN Kpop terkenal, BTS sekali lagi membuktikan pengaruh besar mereka apabila menduduki tangga pertama senarai artis yang paling banyak diciap (tweet) sepanjang tahun lalu oleh pengguna laman sosial Twitter di Amerika Syarikat (AS). Menerusi hasil kajian dilakukan oleh Twitter, BTS menjuarai carta Top 10 tersebut yang kemudiannya diikuti oleh Kanye West, Beyonce, Drake, Megan Thee Stallion, Harry Styles dan Bad Bunny. Selain BTS, tiga lagi kumpulan Kpop yang tersenarai ialah ATEEZ, NCT dan EXO. Pencapaian luar biasa BTS menembusi pasaran muzik AS diraih selepas mereka berjaya mengungguli carta lagu Billboard Hot 100 menerusi penerbitan single Inggeris pertama, Dynamite pada Ogos tahun lalu. BTS tercalon dalam Anugerah Grammy ke-63 bagi kategori Persembahan Duo/Kumpulan Terbaik. Selain itu, mereka juga mencipta sejarah untuk industri muzik Kpop apabila berjaya tercalon dalam Anugerah Grammy ke-63 yang akan berlangsung pada 14 Mac ini. Kumpulan itu tercalon dalam kategori Persembahan Duo/Kumpulan Terbaik menerusi lagu Dynamite. BTS yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Big Hit Entertainment ditubuhkan pada tahun 2013. Septet itu dianggotai RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook. - Yonhap News Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!