suria

Rasa tidak dihargai sebagai penyanyi, Selena Gomez luah hasrat mahu bersara

Selena Gomez pernah terfikir untuk bersara daripada dunia nyanyian.

PENYANYI Selena Gomez memberikan bayangan dia tidak akan selamanya menyanyi dan mengabdikan diri dalam bidang seni.

Menerusi temubual bersama majalah Vogue keluaran April 2021, Selena, 29, berkata dia merasakan tidak semua pihak mengambil serius tentang perjuangan muzik yang dibawakannya selama ini.

"Ia sukar untuk terus berada dalam bidang muzik sekiranya orang di sekeliling tidak mengambil apa yang kamu lakukan itu secara serius.

"Kadang-kadang ia membuatkan saya terfikir, apa gunanya saya terus menyanyi?" katanya.

Menurut bekas kekasih Justin Bieber itu, dia merasakan sudah memberikan yang terbaik menerusi single Lose You to Love Me namun karya itu masih juga menjadi perdebatan apabila dikatakan tidak menarik oleh sesetengah pihak.

"Saya merasakan lagu itu merupakan lagu terbaik pernah saya nyanyikan tapi masih ada lagi orang berkata yang ia tidak cukup bagus.

"Walaupun begitu, saya tetap bersyukur kerana masih ada lagi peminat yang menghargai lagu-lagu saya.

"Saya nak cuba buat kelainan untuk album seterusnya sebelum saya mungkin betul-betul bersara selepas ini," katanya.

Selena memulakan karier nyanyian dengan tampil menerusi album sulung berjudul Kiss & Tell pada tahun 2009 kemudian diikuti dengan lima buah album lagi termasuk dua bersama bandnya, Selena Gomez & The Scene. - CNN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain