SELEPAS hampir empat bulan berteka-teki, akhirnya pelakon popular dari Korea, Song Hye Kyo mengesahkan dia bakal bergandingan bersama Jang Ki Yong dalam drama terbaharu. Menurut laporan Soompi, kedua-dua pelakon ini akan digandingkan sebagai watak utama dalam drama berjudul Now, We Are Breaking Up. Sejak November tahun lalu, khabar angin mengenai perkara ini bertiup kencang dalam kalangan peminat sehinggalah Song Hye Kyo mengesahkan berita tersebut pada Rabu. Drama terbaharu ini menceritakan mengenai kisah cinta dan perpisahan yang penuh emosi. Song Hye Kyo membawa watak Ha Young Eun iaitu seorang pengurus di sebuah syarikat berkaitan fesyen yang memiliki karakter realistik, trendy dan cerdas. Manakala, Jang Ki Yong memegang watak Yoon Jae Guk merupakan seorang lelaki yang kaya dan popular. Berita mengenai projek terbaharu mereka ini disambut baik oleh peminat yang teruja untuk menyaksikan keserasian mereka apabila disatukan dalam drama. Drama ini memulakan penggambaran pada April depan dan ditayangkan di saluran SBS hujung tahun ini. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!