KEDIAMAN pasangan selebriti Shawn Mendes dan Camila Cabello yang terletak di Los Angeles, Amerika Syarikat dimasuki pencuri pada Ahad lalu. Menurut laporan TMZ, penjenayah memasuki kediaman itu dengan memecahkan tingkap dan sempat membawa lari sebuah kereta mewah yang diparkir di hadapan rumah. Ketika kejadian, penjenayah menyedari kedua-dua penyanyi itu berada dalam rumah dan segera meninggalkan kediaman tersebut. Bagaimanapun pencuri sempat mengambil kunci kenderaan milik Shawn Mendes dan melarikan kereta jenis Mercedes G-Class. Kenderaan mewah milik Shawn ini dipercayai dibawa lari oleh penjenayah. Shawn dan Camila dilaporkan berada dalam keadaan selamat. Sementara itu, portal Page Six memaklumkan masih belum ada penangkapan dilakukan tetapi pihak berkuasa sedang menyiasat bagi mencari dalang di sebalik kejadian itu. Malah sehingga kini, pihak polis Los Angeles Police Department (LAPD) belum bersedia memberikan sebarang keterangan. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!