PEMPENGARUH media sosial Inara Rusli menangis selepas menjalani soal siasat di balai polis atas dakwaan membuka telefon milik bekas suaminya iaitu penyanyi Virgoun tanpa izin. Detik melaporkan Inara atau Inara Idola Rusli, 31, menitiskan air mata kerana kecewa dengan tindakan Virgoun yang enggan menarik semula saman difailkan terhadapnya malah berniat melihat dia dipenjarakan. "Saya tidak tahu kenapa jadi begini. Dia (Virgoun) seharusnya menjadi bapa yang bijak dan saya ini adalah ibu kepada anak-anaknya. "Dia sepatutnya menunjukkan contoh terbaik buat anak-anak dan bukannya memberikan kesusahan dan menyiksa saya," katanya. Kemelut Inara dan Virgoun masih belum berakhir. Dalam pada itu, Inara turut meluahkan rasa tidak puas hati soal pemberian nafkah yang jauh daripada permintaannya. Dakwa Inara, Virgoun hanya membayar IDR20 juta (RM6,000) berbanding IDR75 juta (RM22,000) yang diminta sebulan untuk tiga anak mereka. "Sebelum ini dia tidak pernah mempersoalkan bayaran nafkah tapi lain pula jadinya. Kalau saya tidak bekerja macam mana saya ingin menyara anak-anak?," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Tular video bekas isteri Virgoun dilamar lelaki, netizen kata gimik lakonan Inara kurang menjadi ARTIKEL BERKAITAN: Raih pendapatan buat jualan online, Inara Rusli bantah kerajaan Indonesia tutup TikTok Shop Sebelum ini, Virgoun memfailkan saman terhadap Inara atas kesalahan wanita itu membuka akses telefon bimbit miliknya tanpa izin. Inara didakwa membaca segala butiran dalam telefon bimbit penyanyi berkenaan sewaktu mereka masih bergelar suami isteri. Untuk rekod, Inara dan Virgoun mendirikan rumah tangga pada 2014 namun sah bercerai pada November tahun lalu. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Starla Rhea Idola Virgoun, Faithlee As-Sya'ir Virgoun dan Terang Sharique Virgoun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!