suria

Masih berbisa di usia 70 tahun, ‘A Legend’ karya berani mati Jackie Chan

Jackie Chan tampil dengan filem berjudul A Legend yang mula ditayangkan pada 1 Ogos di Malaysia.

BINTANG legenda Hong Kong, Jackie Chan yang cukup terkenal dengan aksi dan seni bela diri memukau, membuktikan dirinya masih kekal relevan pada usia 70 tahun apabila kembali menggegarkan industri filem menerusi naskhah terbaharu berjudul A Legend.

Bakal memasuki pawagam tempatan bermula 1 Ogos, sekuel filem The Myth yang diterbitkan pada 2005 itu menyaksikan karya ‘berani mati’ daripada Jackie Chan apabila menampilkan aksi seni bela diri lebih mencabar dan menarik untuk ditonton.

Bukan itu sahaja, unsur pengembaraan dan fantasi yang diselitkan dalam filem A Legend dilihat berpotensi menjadi antara naskhah terbaik tahun ini disebabkan kelainan ditampilkan berbanding filem aksi lain.

Jackie Chan 2

Antara babak menarik dalam A Legend.

Jika dibandingkan dengan beberapa filem aksi lain yang pernah dijayakan Jackie Chan, A Legend juga tidak boleh dinafikan kehebatannya apabila menampilkan sisi berbeza aktor tersohor yang sudah enam dekad membawa diri dalam industri perfileman itu.

Rata-rata penonton di negara itu memuji naskhah berkenaan selepas terpukau dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) diketengahkan yang menjadikan wajah Jackie Chan kelihatan lebih muda berbanding usia sebenar.

A Legend yang mendapat sentuhan magis daripada pengarah The Myth iaitu Stanley Tong berkisar Profesor Fang lakonan Jackie Chan iaitu seorang pakar arkeologi, menyedari bahawa tekstur pada artifak yang ditemui oleh pelajarnya semasa ekspedisi Glasier sangat mirip dengan loket jed yang pernah dilihat dalam mimpinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tertekan sampai tak mahu hidup, Angelina Jolie pernah terfikir cari pembunuh upahan tamatkan nyawa sendiri

ARTIKEL BERKAITAN:50,000 peminat sanggup berpanas, panjat bukit demi tonton konsert Taylor Swift percuma

Loket itu menghubungkan alam mimpi dengan realiti. Dengan penuh rasa ingin tahu, Profesor Fang mengetuai pasukan penyelidik dalam perjalanan jauh ke Kuil Glasier, untuk mencari kebenaran di sebalik impiannya. Mereka memulakan pengembaraan hebat bersama-sama.

Filem berbahasa Kantonis dan Mandarin itu juga membariskan pelakon handalan lain seperti Lay Zhang, Na Zha, Aarif Lee, Li Chen, Peng Xiaoran serta Zheng Yecheng yang menjadikan naskhah itu lebih memberi impak dalam pelbagai aspek.

Sudah ditayangkan secara rasmi di China pada 12 Julai lalu, filem A Legend meraih pelbagai maklum balas positif daripada penonton yang terpukau dengan aksi serta lakonan ditampilkam Jackie Chan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain