suria

Kim Woo Bin kongsi perjuangan lawan kanser... Doktor ramal hidup cuma 6 bulan sahaja

Woo Bin mengambil masa selama dua tahun untuk sembuh sepenuhnya daripada kanser.

PELAKON Kim Woo Bin mengimbau kembali perjuangannya melawan penyakit kanser Nasopharyngeal yang dihidapinya kira-kira tujuh tahun lalu.

Allkpop melaporkan, Woo Bin, 35, berkata pada ketika itu doktor memberikan anggaran jangka hayatnya hanya tinggal enam bulan sahaja.

Kata Woo Bin, kenyataan itu memberikan tamparan hebat buat dirinya dan merasakan seperti berada dalam sebuah babak drama.

bin1 - 1

Woo Bin berkongsi cerita tentang perjuangannya melawan kanser.

"Saya seorang yang positif dan sentiasa cuba untuk mencari kelebihan diri dalam apa juga keadaan.

"Ia umpama adegan dalam drama apabila doktor tiba-tiba kata saya mungkin hanya ada enam bulan untuk hidup.

"Saya terkejut, takut dan berharap ia hanyalah mimpi. Tapi walaupun takut saya tidak pernah terfikir bagaimana sekiranya saya tidak dapat mengatasi masalah ini. Ia tak langsung terlintas dalam fikiran saya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kim Woo Bin dan Shin Min Ah dating di butik pakaian, peminat buat spekulasi bercuti sama di Jepun

ARTIKEL BERKAITAN: Kim Woo Bin bebas kanser, mula rancang kahwin dengan Shin Min Ah tahun ini selepas enam tahun bercinta

Dalam pada itu, Woo Bin meluahkan rasa syukur kerana menerima sokongan ramai sebagai kekuatan untuk dia melawan penyakit tersebut.

Pelakon drama Black Night ini turut mengucapkan terima kasih buat semua yang selama ini tidak putus-putus mendoakan agar dia kembali pulih.

"Ramai yang mengenali saya memberikan doa dan sokongan kepada saya. Saya percaya dengan sokongan itu yang memberikan kekuatan buat saya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang selama ini mendoakan untuk kesihatan saya.

Pada 2017, agensi Woo Bin mengesahkan pelakon itu menghidap kanser Nasopharyngeal iaitu sejenis kanser yang berlaku di antara saluran pernafasan dan tekak.

Bagaimanapun, Woo Bin bernasib baik kerana kanser tersebut dikesan pada peringkat awal sebelum ia merebak ke tempat lain dan disahkan bebas kanser pada 2019.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain