suria

Fara Fauzana kembali ke konti, segmen pagi di Suria FM makin gamat!

Fara memulakan tugas bersama Suria FM pada Isnin.

KEMUNCULAN Fara Fauzana di konti Suria FM menerusi slot pagi sejak Isnin mengundang tanda tanya dalam kalangan netizen mengenai status penyampai senior berkenaan.

Menerusi ruang komen di media sosial rata-rata netizen melahirkan rasa teruja apabila Team Pagi Suria yang dikendalikan oleh Issey dan Fizi Ali sebelum ini lebih ceria dengan kemunculan Fara.

ARTIKEL BERKAITAN: Mula-mula suka-suka, akhirnya jadi serius - Fara Fauzana

Nampaknya Fara masih berbisa, kunjungan mStar ke konti Suria FM pada pagi Selasa juga mendapati gabungan mereka bertiga cukup serasi walaupun baru memasuki hari kedua.

Fara Fauzana pada hari pertama mengendalikan segmen Team Pagi Suria.

Bagi Fara sendiri, dia begitu teruja untuk kembali beraksi sebagai penyampai radio selepas tiga tahun meninggalkan konti.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat masih ada pendengar yang meluahkan rasa rindu mendengar celoteh saya di radio walaupun sebelum ini ada juga saya menjadi penyampai jemputan di beberapa stesen sebelum ini.

“Namun saya akui skill tu mungkin dah sedikit berkurangan. Jadi penyampai ni bukan sahaja perlu bercakap namun kena ada pengetahuan yang luas. Banyak perkara sudah berubah dalam dunia radio selepas saya meninggalkan Hot FM pada 2016," katanya.

Fara Fauzana digandingkan bersama Issey dan Fizi Ali.

Bermula 26 Ogos slot pagi di Suria FM dikenali dengan nama Team Pagi Suria x Fara Fauzana akan ke udara setiap Isnin hingga Jumaat seawal 6 hingga 10 pagi.

Bercerita mengenai dunia penyiaran, Fara, 39, berkata sejak dia meninggalkan Hot FM, belum lagi terdetik rasa rindu terhadap bidang itu.

"Kalau nak ikutkan tidak wujud istilah rindu, saya masih dikelilingi mereka malah kami sentiasa akan berjumpa dengan bekas rakan sekerja sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

"Saya juga sentiasa hadir ke pelbagai stesen radio bagi merakamkan voice over (VO) untuk beberapa iklan," katanya.

Rancangan atas talian dbilique bakal bersiaran secara langsung dari United Kingdom.

Dalam pada itu Fara menjelaskan masih menumpukan perhatian kepada rancangan temu bual atas talian dbilique yang dikendalikannya bersama Faizal Ismail.

“Sebenarnya separuh daripada kehidupan saya diserahkan kepada dbilique dan kini ia semakin berkembang biarpun baru berusia setahun jagung.

“Lebih menarik apabila program ini bakal bersiaran secara langsung dari United Kingdom apabila Faizal akan melanjutkan pelajaran di sana untuk tempoh lebih setahun.

Fara mula menyertai dunia penyampaian radio apabila menyertai Era FM bermula 2003 sehingga 2006 sebelum berhijrah ke Hot FM pada tahun yang sama.

fara fauzana, suria dm

Artikel Lain