suria

Bangga miliki kulit 'hitam manis'... 6 selebriti ini buktikan warna bukan halangan!

Enam selebriti membuktikan memiliki kulit gelap atau sawo matang bukan pernghalang untuk berjaya.

SERING kali kita mendengar mengenai penghinaan membabitkan individu berkulit gelap dan boleh dikatakan isu body shaming ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah ia turut dilaporkan di seluruh dunia.

Lebih parah memasuki dunia tanpa sempadan, individu yang memiliki warna kulit 'hitam manis' ini sering menjadi mangsa buli siber di laman sosial.

Kesannya, mereka hilang keyakinan diri dan kemungkinan akan mengalami gangguan emosi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak pernah terfikir nak report polis” - Black Hanifah nasihat Haneesya jangan cepat melatah, jadikan 'hitam' sebagai senjata

ARTIKEL BERKAITAN: Diejek kulit gelap, tapi di mata suami isterinya cantik macam Rihanna, “Nak sedih pun tak guna... memang dah hitam”

Warna kulit sama sekali tidak mempengaruhi kebolehan dan bakat semulajadi yang ada pada setiap manusia.

Terbukti ramai tokoh politik, selebriti antarabangsa, pakar daripada pelbagai bidang di dunia yang berjaya dalam karier mereka.

Kali ini mStar senaraikan enam selebriti Malaysia yang berbangga memiliki kulit gelap, dalam masa sama berjaya dalam bidang yang diceburi mereka.

1. Dr. Amalina Che Bakri

Wanita berusia 32 tahun ini bukanlah penyanyi atau pelakon. Dia merupakan seorang doktor pembedahan umum yang kini berkhidmat di sebuah pusat perubatan di United Kingdom.

Sebelum ini, Dr Amalina pernah menyelar tindakan sesetengah pihak yang menggunakan jalan pintas untuk memiliki kulit putih dan mulus dengan mengambil produk yang tidak mendapat pengesahan pihak berwajib.


Sudahlah bijak... Dr Amalina juga memiliki kecantikan semulajadi sehinggakan ramai pengikutnya di laman sosial meminta pandangan dan tips untuk kelihatan cantik dan sihat.

2. Yuna

Penyanyi yang membina nama di Amerika Syarikat iaitu Yuna mengakui pernah berasa malu dan kurang keyakinan kerana memiliki kulit gelap.

Bagaimanapun, persepsinya itu berubah setelah menyedari setiap manusia memiliki keistimewaan masing-masing.

Akhirnya, Yuna berjaya membuktikan warna kulit bukan batas untuk menentukan sejauh mana pencapaian seseorang dalam bidang yang diceburi.

3. Nabila Huda

Ketaksuban sesetengah pihak menjual produk memutihkan kulit menarik perhatian pelakon Nabila Huda yang turut membidas tindakan peniaga berkenaan.

Bagi Nabila, penggunakan produk pemutih kulit adalah kurang efektif kerana ia akan menjadikan wajah nampak kusam dan cepat tua.

Ujarnya, wanita nusantara memiliki kulit yang tercantik di dunia, justeru itu mereka harus berbangga dan bersyukur atas kurniaan Tuhan itu.

4. Dayang Nurfaizah

Penyanyi berasal dari Sarawak ini berpendapat memiliki kulit gelap adalah bonus kerana ia dianggap manis dan cantik.

Dayang turut memberitahu dia tidak mempercayai rawatan pemutihan kulit kerana bimbang berkemungkinan besar boleh merosakkan lagi kulit.

"Rasanya saya lebih selesa dengan warna kulit asal saya walaupun gelap. Saya tidak mempercayai konsep rawatan pemutihan wajah terutamanya yang penting kulit dijaga rapi agar ia tidak kusam atau berjerawat, itu sudah mencukupi," katanya.

5. Ainul Aishah

Pelakon Ainul Aisyah memberitahu dia bersyukur memiliki kulit gelap secara semula jadi dan tidak pernah sesekali berhajat untuk mendapatkan rawatan pemutihan kulit melalui kaedah suntikan atau sebagainya.

Ainul menyifatkan berkulit gelap sesuatu yang seksi, agak janggal untuk dia tampil dengan kulit putih yang tidak semulajadi.

"Dalam situasi banyak wanita sekarang begitu obses untuk berkulit putih sehingga sanggup berhabis duit bagi tujuan itu, saya pula selesa dengan tona kulit saya yang gelap kerana pada saya ia sesuatu yang seksi dan unik," ujarnya.

6. Nourul Wahab

Penyanyi Nourul berbangga dengan warna pada kulitnya dan menerima ciptaan Tuhan itu dengan penuh syukur.

Sebelum itu, Nourul pernah menegur seorang pengikutnya di Instagram kerana mendiskriminasi warna kulit individu lain.

Menurutnya, setiap orang memiliki keistimewaan masing-masing dan sentiasalah hargai diri seadanya dan orang sekeliling.

Artikel Lain