suria

Difitnah salah guna kuasa Presiden PTVM, Jurey Latiff tuntut permohonan maaf - “Saya percaya admin yang menulis itu orang industri”

Jurey tuntut penyendali akaun Facebook yang menulis tuduhan tersebut membuat permohonan maaf.

PRESIDEN Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli menggesa pemilik akaun Facebook Sembang Teh Tarik Production membuat permohonan maaf atas tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya di laman tersebut.

Menurut Jurey, status yang ditulis pengendali laman itu yang menuduh terdapat penyalah gunaan kuasa dalam persatuan itu merupakan satu cubaan memburukkan namanya selaku presiden yang dilantik.

"Sebenarnya ini bukan benda baru, akaun berkenaan sudah banyak kali memburukkan saya... tapi tuduhan kali ini saya fikir sudah melampau.

ARTIKEL BERKAITAN: Produser Perlu Sepakat Banteras Rasuah Stesen TV

ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit Drama Runding Kurangkan Caj Di Putrajaya

"Kami dah simpan semua bukti dan saya percaya admin yang menulis itu merupakan orang industri. Kalau ada rasa tak puas hati sepatutnya berdepan dan beritahu, jangan menulis dan membuat tohmahan sesuka hati.

"Saya menuntut pemilik Facebook itu tampilkan diri dan buat permohonan maaf secara terbuka dalam masa 24 jam atau akan berdepan tindakan undang-undang," katanya kepada mStar.

Jurey bengang dengan tindakan satu akaun di Facebook yang memburukkan namanya selaku Presiden PTVM.

Sebelum itu, Jurey menerusi Facebook peribadinya meluahkan rasa kesal dengan pengendali laman tersebut kerana membuat fitnah terhadap dirinya.

Susulan itu, Timbalan Presiden PTVM, Richard Ung Kok Kee membuat laporan polis di Balai Polis Ampang, Selangor pada Rabu.

Akaun berkenaan sudah banyak kali memburukkan saya... tapi tuduhan kali ini saya fikir sudah melampau!

JUREY ROSLI

Presiden PTVM

Pada Selasa lalu, pemilik akaun tersebut memuat naik status berbentuk tuduhan terhadap Jurey yang dinamakan sebagai Presiden PTVM kononnya dia tidak membela nasib penerbit lain dan mendapatkan projek daripada kerajaan.

Status itu ditulis selepas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo mencadangkan kenaikan kadar bayaran sebanyak 20-50 peratus untuk drama, telefilem dan program yang bakal disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), yang kini di bawah penelitian kementerian kewangan.

Menteri KKMM, Gobind Singh Deo mencadangkan di parlimen mengenai kenaikan harga kandungan di RTM.

"Dengan keadaan sekarang, ramai produser yang terjejas, projek RTM terletak pada Timbalan Menteri KKMM dan bukan penjagaan Menteri KKMM walaupun dia hanya ambil tahu, ramai juga syarikat baru dapat projek tanpa bantuan PTVM, sebab ramai tak percaya pada presidennya.

"Dia hanya wakil segelintir syarikat penerbitan sahaja sebab gagal membela nasib produser walhal dia sendiri dapat projek tanpa diketahui ramai semasa kerajaan lama.

"Percaya atau tidak, admin boleh syaki dia akan muncul tidak lama lagi antara berjumpa dengan Menteri atau Timbalan Menteri KKMM untuk projek baru. Kita tunggu dan lihat," tulis pengendali laman tersebut.

Hasil carian mStar mendapati pengendali laman itu telah menyahaktif akaun tersebut.

Jurey telah bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali bagi membincangkan isu bayaran tersebut.

Sementara itu, Jurey berkata cadangan mengenai kadar bayaran yang diutarakan Gobind di parlimen itu merupakan petanda baik atas perjuangan PTVM sejak tahun 2008.

Ujarnya, jika cadangan itu diluluskan, ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penerbit, malah turut akan dinikmati oleh seluruh kru produksi sesebuah penerbitan.

"Sejak dulu lagi kami dah perjuangan mengenai isu kenaikan harga program di televisyen, selama 33 tahun harga bayaran masih sama dan apabila menteri mencadangkan mengenai perkara ini di parlimen, ia merupakan satu petanda baik.

"Kita dah berjumpa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan YB Gobind berbincang mengenai isu ini pada Februari dan Mac lalu... Alhamdulillah mereka mendengar apa yang kita sampaikan dan cuba bantu selesaikan isu bayaran ini secepat mungkin.

"PTVM perjuangkan isu ini bukan kerana kepentingan sendiri, sebaliknya untuk semua penggiat seni. Jika bayaran dinaikkan semua akan mendapat manfaat yang sama dan kita akan lebih kreatif dan bersemangat untuk meningkatkan kualiti hasil kerja," katanya.

Jurey Rosli, PTVM, KKMM

Artikel Lain