suria

“Kurus orang cakap sakit, ada juga kata nampak tua” - Cat Farish tak peduli mulut orang, yang penting sihat

Berat badan Cat Farish turun mendadak selepas menjalani pembedahan bariatrik.

PENAMPILAN terkini ahli kumpulan Ruffedge iaitu Cat Farish yang kelihatan semakin kurus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Segelintir peminat beranggapan perubahan mendadak itu menyebabkan Cat atau nama sebenarnya Farrish Zaquan Ramli, 46, kelihatan seperti orang sakit.

ARTIKEL BERKAITAN: “Farid tak marah, tiada salah faham antara kami” - Cat Farish tak terlibat konflik Zul Huzaimy, Farid Kamil

ARTIKEL BERKAITAN: Ruffedge sibuk atur strategi, cari bakat baharu di sekolah dan universiti

Bagaimanapun Cat memberitahu dia tidak pernah berkecil hati dengan tanggapan orang dan menegaskan kesihatannya semakin baik berbanding sebelum ini.

"Apabila kurus orang cakap sakit, apabila gemuk orang cakap juga. Kadang-kadang ada yang cakap nampak tua... itu dan ini. Suka hati mereka la nak cakap apa sebab yang penting saya buat semua ni untuk sihat dan fit supaya boleh jaga keluarga.

Penampilan terkini Cat Farish.

"Tak pernah pun rasa kecil hati atau apa-apa sebab mereka tak tahu. Tapi kadang-kadang saya pun suka perli balik. Mereka tak tahu pun semua ni hasil daripada usaha saya.

"Ada orang sedap cakap sebab mereka ingat semua benda mudah. Jadi perlu ke ambil hati?" katanya kepada mStar.

Sebelum ini, Cat berkongsi foto yang memperlihatkan perubahan fizikalnya yang semakin kurus di Instagram dan mengakui terdapat netizen yang beranggapan dia sedang sakit.

Namun jelas penyanyi lagu Rimas ini, dia menjalani pembedahan bariatrik iaitu Sleeve Gastrectomy yang melibatkan pembuangan 70 hingga 80 peratus perut pada November 2019.

Saya ada masalah saluran pernafasan sempit sampai tak boleh nak sedut oksigen.

CAT FARISH

PENYANYI

Hasil daripada itu Cat mendedahkan berat badannya kini 75 kilogram berbanding 130 kilogram pada tahun lalu.

"Saya ada lakukan pemeriksaan kesihatan tahun lepas. Doktor cakap keadaan saya sangat teruk.

"Saya ada macam-macam masalah kesihatan termasuk diabetes, mudah tidur serta semput. Saluran pernafasan jadi sempit sampai tak boleh nak sedut oksigen. Masalah pernafasan tu buat saya banyak makan.

"Disebabkan masalah yang saya alami, doktor nasihatkan supaya menjalani pembedahan bariatrik," jelasnya.

Cat (dua dari kanan) bersama ahli kumpulan Ruffedge.

Tambahnya, dia juga mengamalkan diet karbohidrat selama lapan bulan selepas selesai menjalani pembedahan tersebut.

Selain itu Cat berkata dia tidak mengamalkan pengambilan gula dalam pemakanan sehariannya.

"Lepas selesai pembedahan, saya mengamalkan diet karbohidrat selama lapan bulan sehingga sekarang.

"Saya hanya makan ikan, ayam dan sayur... daging pun kadang-kadang saja saya ambil. Saya juga tak mengambil gula dalam pemakanan saya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain