suria

Orang kampung kumpul duit untuk Alina Hassan beli peralatan rumah - “Terperanjat, tak pernah bercerita mengenai nasib saya kepada mereka”

Alina bersyukur ramai pihak yang sudi membantunya.

REZEKI buat penyanyi Alina Hassan terus mengalir apabila dia menerima pelbagai tajaan barangan keperluan untuk kediaman baharunya yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur.

Bersyukur dengan keprihatinan semua pihak, Alina, 52, juga tidak menyangka apabila diberitahu bahawa orang kampungnya di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka turut mengumpul dana untuk membantunya.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur ramai orang yang ingin membantu dengan memberi tajaan barang-barang rumah selepas kisah saya menjadi viral.

"Tapi yang paling saya terperanjat apabila dapat tahu orang kampung saya ada buat kutipan untuk saya. Sebenarnya saya tak pernah bercerita mengenai nasib saya kepada mereka.

Saya tak tahu lagi bila boleh pindah sebab sibuk nak uruskan banyak perkara termasuklah kerja nyanyian.

ALINA HASSAN

PENYANYI

"Mereka hanya mengetahuinya selepas membaca artikel mengenai saya. Ada orang kampung menghubungi saya, dia nak beri tajaan barang dalam rumah," kata Alina kepada mStar.

Sebelum ini kisah pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 tinggal di bilik berkeluasan 1.5 meter X 2.4 meter di sebuah rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu mendapat perhatian ramai.

Bagaimanapun kini dia tidak perlu lagi menghuni bilik kecil yang sempit itu apabila permohonannya untuk menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) akhirnya mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Alina ditawarkan untuk menyewa rumah PPR DBKL Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur dengan kadar sewa RM124 sebulan.

Dalam pada itu, juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 ini memberitahu dia belum berkesempatan untuk berpindah ke rumah tersebut berikutan sibuk menguruskan beberapa perkara.

Alina belum berkesempatan pindah rumah baru.

"Saya belum sempat nak pindah rumah baru lagi tapi ada beberapa kali singgah untuk kemas dan pasang peralatan seperti lampu dan langsir. InsyaAllah kelengkapan rumah pun hampir siap sepenuhnya.

"Buat masa sekarang saya tak tahu lagi bila boleh pindah sebab sibuk nak uruskan banyak perkara termasuklah kerja nyanyian saya. Alhamdulillah, banyak juga dapat tawaran untuk buat show di majlis tertutup," ujarnya.

Ujar Alina lagi, dia bakal menetap di rumah baharunya itu bersama tiga orang anaknya iaitu Muhammad Alif, 20 yang merupakan anak autism, Muhammad Amin, 18 dan Muhammad Azam, 16.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain