suria

Alif Satar tarik diri hos AME2020, bakal ganti pengacara lain - “Walaupun telah pulih Covid-19, sedikit sebanyak beri tekanan”

Nabil Ahmad (kiri) dan Alif Satar sepatutnya mengacarakan AME2020 bersama Jihan Muse.

KEPUTUSAN pengacara dan penyanyi Alif Satar menarik diri daripada mengendalikan majlis Anugerah MeleTOP Era (AME2020) disambut baik oleh pihak produksi program berkenaan.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram, MeleTOP menyokong keputusan Aliff itu berikutan penyanyi lagu I Want To You Love Me itu masih dalam tempoh pemulihan selepas disahkan positif Covid-19 pada 22 November lalu.

"Susulan berita bahawa Alif positif Covid-19, fokus kami yang utama adalah untuk melihat Alif pulih seperti sedia kala agar dapat kembali ke pangkuan keluarga tercinta dengan segera.

ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa bakal buat kemunculan di AME2020? Ini komen Astro

"Walaupun kini Alif telah pulih, kami masih mengambil berat akan tahap kesihatan beliau memandangkan peranan sebagai hos acara siaran langsung memerlukan kerahan tenaga yang banyak dan raptai siang malam, yang sedikit sebanyak akan memberi tekanan fizikal dan mental.



Kenyataan MeleTOP menerusi laman Instagram.

"Merujuk pada situasi ini, pihak AME2020 dan Alif sendiri dengan berat hati telah mencapai kata putus untuk mengumumkan pengunduran Alif sebagai hos AME2020. Walau bagaimanapun, jangan risau, Alif tetap akan memainkan peranan dalam AME2020.

"Pihak kami sekarang berusaha untuk mencari pengganti dan InsyaAllah kami akan umumkan hos baharu pukul 8 pagi esok di radio Era dalam segmen Johara Pagi Era, ” katanya.

Mengikut perancangan awal AME2020 yang akan berlangsung pada Ahad ini akan dikendalikan oleh Alif bersama dua lagi pengacara iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse.



AME2020 akan umumkan pengganti Alif Satar pada pagi Jumaat di radio Era.

Pada 22 November lalu, Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar memaklumkan dirinya positif Covid-19 iaitu dua hari selepas membuat persembahan di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) episod pertama yang berlangsung di Sri Pentas 2, Shah Alam, Selangor.

Selepas 12 hari mendapatkan rawatan dan menjalani kuarantin di Hospital Melaka, Alif akhirnya disahkan bebas daripada virus Covid-19 pada 4 Disember lalu.

Mengulas mengenai penarikan dirinya itu, Alif berkata dia perlu memberi tumpuan yang lebih kepada kesihatannya selepas pulih daripada jangkitan Covid-19.

Ini kerana dia perlu mengambil berat tahap kesihatannya memandangkan peranan sebagai hos acara berkenaan bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain