suria

Petikan gitar ganggu vokal punca ‘Sembah’ gagal ke AJL35, Naim Daniel keliru penjelasan juri - “Anugerah nilai melodi dan lirik bukan vokal”

Naim keliru dengan kenyataan Azmeer mengenai bunyi gitar lagu Sembah mengganggu vokalnya.

AKUR lagu Sembah ciptaannya tidak layak ke Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), penyanyi Naim Daniel bagaimanapun mengakui berasa sedikit keliru dengan penjelasan juri.

Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 23, berkata, dia hairan mengapa penilaian dibuat terhadap vokalnya memandangkan pertandingan itu mengutamakan lirik dan melodi sesebuah lagu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan buat kenyataan seolah-olah kami bodoh sangat!” - Azmeer jawab tuduhan juri SFMM35 dah tua, tak faham muzik semasa

"Tidak dinafikan saya ada letak harapan agar lagu Sembah mara ke AJL35 tapi apabila tidak terpilih saya okay sahaja, tidaklah terlalu kecewa.

"Cumanya saya ada sedikit kekeliruan apabila ketua juri, Azmeer menjelaskan bunyi gitar lagu Sembah dikatakan mengganggu untuk menyerlahkan vokal saya. Seperti yang kita tahu, AJL adalah anugerah untuk mengiktiraf melodi dan lirik sesebuah lagu itu, bukannya vokal penyanyi.



Naim Daniel keliru penjelasan Azmeer.

"Ada perbezaan statement di situ, tapi saya percaya pihak juri pastinya ada alasan tersendiri sebab mereka lebih mahir dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

"Tidak tercalon untuk AJL kali ini tidak mematahkan semangat saya untuk terus menghasilkan karya bermutu buat peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seni saya," katanya kepada mStar.

Naim turut meminta peminat dan netizen berlapang dada dan menerima keputusan muktamad pihak juri.

"Saya tahu ramai netizen marah dan bising kenapa lagu Sembah tidak masuk AJL35, saya hargai semua pendapat mereka. Dapat penghargaan macam itu daripada peminat pun dah buat saya bangga.

Tidak dinafikan saya ada letak harapan agar lagu Sembah lepas ke AJL 35 tapi bila tidak terpilih saya okay sahaja, tidaklah terlalu kecewa.

NAIM DANIEL

PENYANYI

"Saya harap peminat berlapang dada menerima keputusan juri seperti saya juga. Bagi saya lagu yang masuk final semua yang terbaik, tiada satu lagu pun yang merapu.

"Kita doakan sahaja yang terbaik buat semua finalis," katanya.

Pada Separuh Akhir Muzik Muzik ke-35 (SFMM35), Naim mempertaruhkan dua buah lagu iaitu Sembah dan Adakah Engkau Menungguku featuring Tuju K-Clique.

Tahun lalu, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Naim, Sumpah diumum sebagai juara AJL 34.



Selain Sembah, netizen turut mempertikaikan lagu Sakit tidak mara ke pentas AJL 35.

AJL35 bakal menyaksikan lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian Aishah, Semalam (Aina Abdul), Kau Sakiti (Amir Masdi), Hutang (Floor 88), 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta), Eh (Zizi Kirana) dan Gundah (Ernie Zakri) berentap merebut gelaran juara.

Turut layak ialah lagu Gila (Kaka Azraff, Loca B, Noki), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Belenggu Rindu (Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita), Hati (Hael Husaini) dan Peluang Kedua (Hael Husaini).

AJL35 bakal berlangsung pada 7 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain