suria

Mohd (Mentor) dah tak jadi pemandu e-hailing, kerja editing lebih ‘masyuk’ - “Zaman sekarang ini semua orang mahu promosi pakai video”

Selain menyanyi, Mohd turut mengambil tawaran melakukan suntingan video.

JIKA sebelum ini penyanyi Mohd memandu e-hailing bagi menampung kehidupan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, kali ini juara program Mentor musim keempat ini meneroka bidang baharu pula.

Mohd atau nama sebenarnya Mohamad Izwan Mohamad Nor, 32, berkata dia kini mengusahakan sebuah syarikat berkaitan suntingan video dan multimedia sejak dua bulan lalu.

“Ya PKP tahun lalu saya jadi pemandu e-hailing... memandangkan keadaan terdesak ketika itu, saya ambil sahaja peluang yang ada. Cumanya dalam tempoh itu permintaan pelanggan kurang, jadi saya cuba bidang lain pula.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sudah lama hidup susah, tak pernah pun minta bantuan khusus” - Mohd (Mentor) selesa jadi pemandu Grab kalau tiada ‘show’

“Saya ada minat dalam bidang editing video, jadi bermula daripada situ saya dan isteri tubuhkan Protube Studio yang memberikan perkhidmatan menyediakan video untuk pelanggan terutamanya syarikat korporat.

“Alhamdulillah, ada sambutan, zaman sekarang ini semua orang mahu promosikan perniagaan melalui video. Mujurlah isteri pun banyak membantu kerana dia pun ada ilmu mengenai dunia digital dan multimedia ini.



Isteri banyak beri dorongan dan sokongan moral kepada Mohd.

“Apa yang boleh saya kata kerja yang saya buat ini lebih seronok kerana semuanya sendiri dan boleh luang lebih masa dengan keluarga berbanding menjadi pemandu dahulu,” katanya kepada mStar.

Pada Mac tahun lalu, Mohd berkata dia tidak terdesak untuk memohon bantuan khas daripada kerajaan kerana masih mampu mengerahkan tenaganya mencari rezeki untuk keluarga.

Memang berbeza dengan lagu sebelum ini, InsyaAllah selepas berakhir PKP, kita akan bawa lagu ini sampai ke Indonesia.

MOHD MENTOR

PENYANYI

Meskipun sibuk menguruskan beberapa projek video permintaan pelanggan, Mohd masih berkesempatan muncul dengan single baharu berjudul Bukan Biasa Biasa (BBB).

Kata Mohd, lagu ini berbeza dengan lagu nyanyiannya sebelum ini kerana dia perlu menari di apikasi TikTok.



Mohd tampil dengan single baharu BBB.

“Lagu ini dicipta khas untuk pengguna TikTok... mereka boleh menari dan sahut cabaran BBB Challenge dan berpeluang menang hadiah menarik... sampaikan saya pun kena menari sekali. Step tarian ada ditunjukkan dalam MV yang akan dilancarkan pada 20 Januari ini.

“Memang berbeza dengan lagu sebelum ini, InsyaAllah selepas berakhir PKP, kita akan bawa lagu ini sampai ke Indonesia.

“Besar harapan saya orang ramai tanpa mengira usia dapat menerima lagu terbaharu ini dan semoga ia mampu melepaskan tekanan kita yang sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, ” ujarnya.

BBB nyanyian Mohd featuring Ra.Da.Mi merupakan ciptaannya sendiri bersama Iswandy Atan, Shah Ali dan Daily Ahmad.

Lagu tersebut boleh didengari di semua platform digital dan video muzik (MV) akan dimuat naik di YouTube Havana Hunana Music pada 20 Januari depan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain