suria

Jangan simpan barang sumbangan orang ramai seperti stok kedai runcit, Achey tegur sistem agihan di PPS untuk mangsa banjir

Achey kurang senang apabila mendapat tahu ada mangsa banjir yang masih belum dibantu.

KELUHAN banyak pihak dengan mendakwa bantuan yang disumbangkan orang ramai tidak sampai kepada mangsa banjir mengundang rasa kurang senang pelawak Achey.

Menurut Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 35, tindakan pihak terlibat mengawal agihan barang bantuan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) tidak seharusnya berlaku ketika mangsa banjir berdepan saat sukar.

Cerita Achey, dia sendiri berdepan situasi itu apabila dihubungi mangsa banjir yang meminta bantuan sedangkan baru saja menghantar bantuan ke PPS yang enggan dinamakan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Sharifah Shahirah jadi pusat transit barang bantuan mangsa banjir, rakan artis hulur sumbangan minta simpan rahsia

ARTIKEL BERKAITAN: Harith Iskander bawa bot sendiri selamatkan 12 mangsa banjir, mohon maaf persoal peranan ATM

"Apabila saya buka DM, kebanyakannya meminta saya untuk salurkan bantuan ke kawasan yang saya dah sampaikan sumbangan.

"Saya peliklah, sebab selalunya kami akan telefon dahulu orang di kawasan terlibat dan bertanya, apa keperluan yang diperlukan dan berapa jumlahnya. Rupa-rupanya ada dalam kalangan mangsa banjir tidak dibenarkan untuk mengambil barang bantuan kerana tidak berdaftar dengan PSS atau perlu melalui pelbagai prosedur yang ketat.

"Jadi mangsa minta saya hantar bantuan itu direct kepada mereka, tetapi agak sukar la bagi kami hantar satu persatu kerana ramai yang memerlukannya. Sebab itu kami drop di PPS supaya mangsa-mangsa boleh datang dan ambil sendiri,” katanya kepada mStar.

Tambah Achey dia sendiri menyaksikan kelemahan sistem agihan di PPS terbabit apabila sumbangannya tidak diagihkan terus kepada mangsa kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Kata Achey, sumbangan perlu disampaikan terus kepada mangsa kerana risau jika makanan yang diberikan itu sudah tidak elok untuk dimakan.

"Ada tempat yang saya pergi sendiri, pihak yang bertugas kata kami kena drop barang sumbangan dan mereka akan agihkan sendiri kerana mahu menjaga SOP. Jadi saya kata tak mengapalah, cuma kami tidak berpuas hati jika barang itu tak sampai terus kepada mangsa.

Bantuan ini tak akan putus kerana orang Malaysia sangat prihatin, jadi kita patut bagi ruang untuk sesiapa sahaja yang bantu tak kiralah daripada NGO atau kerajaan.

ACHEY

PELAWAK

"Apabila saya kembali semula ke kawasan yang sama pada waktu malam, sumbangan yang saya hantar itu masih ada lagi. Saya pun bagitahu la yang benda ini perlu disampaikan kepada mangsa dengan segera, sebab takut makanannya basi.

"Ada yang mengatakan mungkin mereka menunggu saya untuk bergambar dan agihkan. Pada saya perkara itu tidak penting, sumbangan perlu terus diagihkan kepada mangsa sebaik sahaja ia sampai," katanya.

Sementara itu, Achey berharap agar proses penerimaan bantuan dipermudahkan untuk mangsa banjir kerana jumlah sumbangan yang disalurkan kepada mereka juga tinggi.

"Kita memang kena ikut SOP, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang ini. Cuma saya nak tekankan, permudahkanlah bantuan itu disalurkan kepada mereka yang sepatutnya menerima sumbangan.

sdfghjkmi

Achey sendiri ada menyertai misi bantuan mangsa banjir di beberapa kawasan yang terjejas.

"Pastikan semua dapat dan jangan ada yang tertinggal, sebab bantuan sekarang ini sudah banyak cuma sampai kepada mangsa atau tidak je. Ini bukan stok kedai runcit nak tahan-tahan.

"Bantuan ini tak akan putus kerana orang Malaysia sangat prihatin, jadi kita patut bagi ruang untuk sesiapa sahaja yang bantu tak kiralah daripada NGO atau kerajaan,” katanya.

Selain Achey, beberapa lagi rakan artis seperti Azhan Rani, Didie Alias, Fad Bochey, Beto Kusyairy turut terlibat bersama dalam misi pengagihan bantuan dan menyalurkan kepada mangsa di beberapa kawasan yang terjejas dengan bencana banjir.

Artikel Lain