suria

Harith Iskander persoal kewajaran ustaz dihukum penjara kerana rotan pelajar

Harith menyuarakan pendapat mengenai kes guru rotan anak murid berusia 11 tahun.

SELEPAS isu membandingkan perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia dan Singapura, kali ini pelawak Harith Iskander mempersoalkan hukuman penjara yang diterima seorang guru agama yang merotan anak muridnya berusia 11 tahun.

Tidak setuju dengan apa yang berlaku, Harith, 56, turut membandingkan hukuman penjara kerana merotan itu dengan kes membenarkan perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun sekitar tahun 2018.

ARTIKEL BERKAITAN: Teguran KP Imigresen perkara biasa, tiada niat tersembunyi dalam jenaka selain menghibur - Harith Iskander

"Jadi merotan kanak-kanak berumur 11 tahun membawa kepada hukuman penjara. Tetapi berkahwin dengan pelajar berumur 11 tahun adalah ok?" soal Harith.

Merotan kanak-kanak berumur 11 tahun membawa kepada hukuman penjara. Tetapi berkahwin dengan pelajar berumur 11 tahun adalah ok?

HARITH ISKANDER

PELAWAK



Pada Selasa, Mahkamah Rayuan mengembalikan semula hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret kepada seorang guru agama atas kesalahan merotan anak muridnya, lima tahun lalu.

Muhammad Adib Abd. Halim yang sebelum ini hanya perlu menjalani hukuman penjara sehari dan membayar denda RM4,000 selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman Mahkamah Majistret Kajang juga diperintahkan untuk menjalani hukuman tersebut serta-merta.

Sementara itu, selain memuat naik artikel berkaitan berita guru agama itu, Harith juga meletakkan paparan skrin tajuk artikel mengenai perkahwinan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak berusia 11 tahun sekitar tahun 2018.

Harith 1Harith kongsi pendapatnya di Instagram.

Dalam pada itu, Harith berpendapat merotan kanak-kanak sememangnya satu kesalahan namun mengahwini mereka juga merupakan satu tindakan biadab dan menjijikkan.

"Sila faham, saya rasa merotan kanak-kanak adalah salah. Tetapi saya merasakan mengahwini kanak-kanak adalah menjijikkan. Tanpa mengira alasan yang diberikan.

"Seperti kes ini, ibu bapa kanak-kanak perempuan itu setuju sebab mereka miskin dan mahukan seseorang menjaga anak," ujarnya.

Pada awal minggu lalu, Harith Iskander menerima teguran KP Imigresen apabila dianggap merendahkan perkhidmatan Imigresen Malaysia dalam sebuah program Stand Up Comedy di Netflix Special berjudul I Told You So dua tahun lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain