suria

Enggan layan tuduhan buat pembedahan muka, Zoey Rahman biar netizen nilai sendiri... “Kecaman tak akan pernah habis”

Penampilan berbeza Zoey menjadi bualan netizen.

PENAMPILAN pelakon dan pengacara Zoey Rahman sekali lagi menjadi bualan dalam kalangan netizen yang perasan perubahan pada wajahnya sehingga dia dikatakan melakukan pembedahan kosmetik.

Enggan mengambil pusing tuduhan tersebut, Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 38, berkata, dia sudah lali menerima kecaman berkaitan isu tersebut dan menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat penilaian.

"Sudah banyak kali perkara ini diperkatakan. Terpulanglah kepada orang untuk menilai. Kalau mereka anggap betul buat pembedahan muka, maka benarlah bagi mereka.

zoey 3

Zoey sudah lali dengan kecaman.

"Saya pun sudah lali dikecam dan dimaki. Itu adalah perkara biasa sebagai seorang anak seni. Mungkin ada dalam kalangan artis yang tak boleh nak hadap kecaman, tetapi saya anggap seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kecaman ini tidak akan habis. Nanti lain masa timbul pula isu lain," katanya kepada mStar.

Terdahulu, video dikongsi Zoey di Tiktok miliknya menjadi bualan ramai dan ada dalam kalangan netizen yang turut membuat perbandingan perubahan wajahnya di awal kemunculan sebagai artis.

Dalam pada itu, Zoey berkata, sebagai manusia biasa, dia adakalanya terguris hati dengan tuduhan sesetengah pihak tentangnya namun mengambil pendekatan bersabar dan enggan mengulas komen dilemparkan terhadapnya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Dituduh biadab campak makanan ketika beri bantuan, Zoey Rahman bertindak demikian kerana fikir soal keselamatan

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada jodoh dengan Zarina Anjoulie, Zoey Rahman kini rapat dengan pelakon baharu Shakira Stephen... Kali ini tak mahu kecoh-kecoh

"Saya baca komen-komen yang diberikan dan sebagai manusia normal semestinya akan ada rasa terguris apabila mereka keterlaluan. Bagaimapun kalau selalu berdepan dengan perkara itu ia jadi biasa.

"Saya bukan seorang yang cepat marah dan pendendam. Jadi lebih baik berdiam dan tidak membalas kecaman tersebut. Saya tahu kecaman begitu tidak akan pernah habis," ujarnya.

Kalau mereka anggap betul buat pembedahan muka, maka benarlah bagi mereka

ZOEY RAHMAN

PELAKON/PENGACARA

Dalam masa sama ada juga yang merasakan tidak sesuai melihat Zoey tampil bersolek mempromosikan jenama kosmetik miliknya Mika Series.

"Itu jenama saya dan kenapa perlu malu untuk mempromosikan perniagaan sendiri. Sepatutnya orang Malaysia juga patut bangga kerana produk saya dijual di Watsons yang merupakan kedai rangkaian antarabangsa.

zoey 2

Zoey tidak malu berkongsi teknik solekan di media sosial.

"Produk kosmetik bukan sahaja untuk wanita. Lelaki juga perlu pakai terutama selebriti untuk kelihatan menarik apabila muncul di televisyen. Jadi saya tak rasa salah untuk tunjukkan cara bersolek.

"Lebih baik saya yang promosikan sendiri supaya pengguna lebih yakin dan percaya. Itu adalah salah satu strategi perniagaan dan saya perlu ikut peredaran semasa," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain