suria

Saharul Ridzwan teruja timang anak ketiga, sampai terlupa nak tahu jantina bayi - “Perasaan terperanjat itu memang best”

Saharul meluahkan rasa syukur isteri selamat melahirkan anak ketiga.

ISTERI kepada pelakon Saharul Ridzwan iaitu Deena Emir selamat melahirkan bayi ketiga mereka di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang, Jumaat.

Berkongsi berita gembira itu, Saharul, 34, memberitahu bayi perempuan seberat 3.4 kilogram itu dilahirkan dalam keadaan sihat manakala isteri juga dalam keadaan baik selepas bertarung nyawa melahirkan zuriat mereka.

“Alhamdulillah, dapat seorang lagi puteri. Isteri dan anak dalam keadaan sihat.

WhatsApp Image 2023-01-20 at 21.51.26

Saharul sebelum ini tidak mengetahui jantina anak ketiganya.

“Isteri kini dalam tempoh rehat dan mungkin akan dibenarkan keluar hospital esok. Bergantung kepada tahap kesihatan,” katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam masa sama pelakon itu juga meluahkan rasa terkejut kerana dia dan isteri sebelum ini enggan mengetahui jantina anak mereka sepanjang tempoh hamil.

Kata Saharul persiapan menyambut bayi kali ini juga dilakukan mengikut keseusian untuk kedua-dua jantina sama ada lelaki atau perempuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mengaku dulu bukan baik sangat, Saharul Ridzwan tak nak ‘judge’ kesilapan orang lain

ARTIKEL BERKAITAN: Saharul Ridzwan bawa isteri tunai umrah 10 hari, mahu latih diri berjauhan dengan anak-anak demi sebar dakwah

“Perasaan terperanjat itu memang best. Betapa terujanya saya sambut anak kami sehingga lupa nak tahu jantina anak apabila dia dilahirkan. Sehinggalah lepas mengalunkan azan barulah saya tanya kepada jururawat sama ada lelaki atau perempuan.

“Sukar untuk gambarkan perasaan itu. Saya rasa semua ibu bapa juga patut buat perkara sama tidak mengetahui gender anak lebih awal.

“Dari segi persiapan kami banyak beli keperluan warna putih yang sesuai untuk dipakai oleh lelaki atau perempuan. Dia juga boleh pakai baju kakaknya yang masih elok," ujarnya.

Sukar untuk gambarkan perasaan itu. Saya rasa semua ibu bapa juga patut buat perkara sama tidak mengetahui gender anak lebih awal

SAHARUL RIDZWAN

PELAKON

Sementara itu, Saharul berkata, anak keduanya iaitu Fateema paling teruja sejak mengetahui bakal menjadi seorang kakak.

Dua anaknya itu sudah diberitahu tentang kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka dan tidak sabar berjumpa adik mereka.

“Fateema sering menonton video selawat anak kecil bersama abangnya, jadi dia memang tidak sabar untuk buat perkara sama dengan adiknya nanti.

saharul 2

Dua anak Saharul yang lain juga teruja menyambut kelahiran adik mereka.

“Kedua-dua anak saya masih belum berjumpa adik mereka. Tetapi mereka sangat teruja selepas diberitahu sudah dapat adik baru,” ujarnya.

Untuk rekod Saharul dan Deena atau Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir mendirikan rumah tangga pada September 2016.

Pasangan ini juga mempunyai dua orang cahaya mata lain iaitu Muhammad Luth Ali, 6, dan Fateema Azzahara, 3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain