suria

Penganjur ‘Malam Bulan Bintang’ tak gentar buat konsert sebelah Blackpink... Selit penceramah sempena kedatangan Ramadan

Siti, M Nasir dan Faizal Tahir antara yang akan muncul di pentas konsert Malam Bulan Bintang.

PENGANJUR Konsert Malam Bulan Bintang tidak gentar berkongsi tarikh sama dengan Konsert Blackpink World Tour yang akan diadakan pada 4 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Bagi memastikan kelancaran konsert itu, pengasas jenama Bulan Bintang iaitu Azzim Zahid Azmi, 26, memberitahu dia mengambil inisiatif berbincang dengan pihak Prasarana Malaysia Berhad untuk melanjutkan tempoh operasi pengangkutan awam.

"Ketika kami mengumumkan tarikh konsert Malam Bulan Bintang yang jatuh pada tarikh dan lokasi sama dengan konsert Blackpink, kami menerima pelbagai reaksi daripada peminat Bulan Bintang, peminat penyanyi yang membuat persembahan dan peminat Blackpink.

konsert 2

Azzim yakin Malam Bulan Bintang ada peminat tersendiri.

"Mengambil kira maklum balas yang diterima kami sudah melakukan perbincangan dengan pihak Prasarana Malaysia Berhad untuk menambah tempoh operasi Transit Aliran Ringan (LRT).

"Dalam masa sama, kami juga berharap peminat yang bakal hadir untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas pada hari kejadian," katanya kepada mStar.

Konsert Malam Bulan Bintang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, berdekatan lokasi penganjuran Konsert Blackpink.

Dalam pada itu, Azzim memberitahu konsert Malam Bulan Bintang adalah satu cabaran yang baharu kerana inilah kali pertama jenama baju raya itu akan membuat acara besar-besaran begitu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rai peminat di Malaysia, Blue adakan konsert sempena ulang tahun ke-20 Februari depan

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sahaja konsert, Lah Ahmad hadiah ‘Jatuh’ buat peminat

Melihat penganjuran kali ini sebagai satu cabaran, Azzim juga berpendapat ia menjadi tanda aras perkembangan perniagaan mereka yang sering tampil dengan idea-idea menarik.

"Setiap tahun kami akan adakan sesuatu yang besar. Tahun lalu kami muncul di papan iklan elektronik yang terpampang di KLCC. Jadi tahun ini, kami mahu sesuatu yang dan berbeza, jadi timbul idea Malam Bulan Bintang menampilkan barisan artis popular tempatan dan antarabangsa.

Sesi perkongsian Ramadan daripada penceramah undangan juga akan turut diselitkan di antara persembahan artis

AZZIM ZAHID AZMI

PENGASAS BULAN BINTANG

"Team saya pernah ada pengalaman mengendalikan beberapa konsert menerusi jenama Hausboom Music sebelum ini dan tahun lalu, konsert itu dihadiri oleh 13,000 pengunjung.

"Jadi, untuk mengadakan konsert di Axiata Arena adalah satu cabaran yang perlu kami sahut. Kami mahu melakukan sebaik mungkin. Ia sangat mencabar tetapi bukan perkara yang saya perlu takutkan," katanya.

Selain itu, Malam Bulan Bintang bakal membawakan muzik-muzik Islamik kontemporari yang diiringi oleh band orkestra terkemuka diketuai oleh Chaan.

konsert 3

Barisan artis yang akan membuat persembahan.

“Malam Bulan Bintang akan dimeriahkan lagi dengan tempat duduk serta sistem bunyi yang yang bersudut 360 darjah untuk memberikan penonton pengalaman bunyi berkualiti tinggi dan mengasyikkan.

“Sesi perkongsian Ramadan daripada penceramah undangan juga akan turut diselitkan di antara persembahan artis,” ujarnya.

Antara barisan artis terkemuka tanah air dan antarabangsa yang bakal membuat persembahan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Salammusik, Raihan ft Alif Satar & The Locos, Faizal Tahir, Sabyan dan Opick.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain