suria

Naufal Azrin mengaku sedang bercinta, kekasih cemburu jika rapat dengan peminat... “Saya tak sorok kalau orang nampak”

Naufal harap peminat akan terus memberi sokongan meskipun mengakui sudah ada kekasih.

MENGAKUI sudah memiliki kekasih, penyanyi Naufal Azrin bagaimanapun lebih selesa untuk tidak berkongsi wajah wanita tersebut di mana-mana platform media sosial.

Kata Naufal, 24, dia ingin menjaga privasi kisah peribadinya namun tidak akan menafikan hal percintaan itu jika ada peminat yang terlihat mereka berjalan bersama.

"Saya sebenarnya tidak suka orang tahu fasal saya dan juga orang terdekat. Banyak hati yang perlu dijaga dan sebab itu saya lebih pentingkan privasi.

naufal azrin 2

Naufal selesa tidak terlalu berkongsi kisah percintaan.

"Namun jika ada ternampak kami jalan bersama, saya tidak akan sorok. Kalau dah terjumpa kami bersama saya akan mengaku sahaja kami kekasih," katanya kepada mStar.

Naufal ditemui ketika sidang media memperkenalkan peserta program Big Stage musim kelima (BS5) yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sepanjang fasa percintaan ini, Naufal mengakui ada ketika kekasihnya itu juga cemburu apabila ramai peminat yang cuba mendekatinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu penyanyi nasyid, Naufal Azrin dituduh murtad selepas lagu 'Casablanca' popular

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada cinta di hati Nuha Bahrin, anggap Naufal Azrin macam abang sendiri

Bagaimanapun wanita itu tidak ada masalah jika Naufal berduet dengan mana-mana penyanyi wanita kerana memahami ia merupakan satu tuntutan kerja.

"Dia tidak ada masalah pun kalau saya berduet atau membuat persembahan dengan penyanyi wanita. Itu tuntutan kerja dan dia sangat memahami.

"Bagaimanapun kalau ada peminat yang nak rapat, mestilah dia cemburu. Jadi saya akan cuba cari jalan untuk jernihkan keadaan.

Saya sebenarnya tidak suka orang tahu fasal saya dan juga orang terdekat. Banyak hati yang perlu dijaga dan sebab itu saya lebih pentingkan privasi

NAUFAL AZRIN

PENYANYI

"Saya sentiasa yakinkan dia bahawa saya mampu melakukan terbaik untuk hubungan kami," ujarnya.

Bercakap tentang penyertaannya dalam BS5, Naufal juga berharap pentas berkenaan akan lebih mengukuhkan namanya sebagai penyanyi solo.

Dalam masa sama dia yang pertama kali menyertai program pertandingan seperti ini sudah bersedia berdepan dengan kritikan peminat.

naufal azrin 3

Peserta-peserta BS5.

"Sebelum ini saya lebih dikenali dengan lagu duet bersama Nuha, namun penyertaan dalam BS5 bukanlah bermaksud saya nak singkirkan dia. Cuma berharap dapat kukuhkan nama sebagai penyanyi solo.

"Sebelum ini saya juga pernah bersama kumpulan nasyid, itu yang menjadi pintu masuk pertama saya dalam industri. Kepada mereka yang selalu mendengar lagu saya yang dahulu, saya minta maaf kerana tidak dapat nak terus ikut permintaan mereka. Saya masih sayangkan nasyid namun genre lagu berubah," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO

Artikel Lain