suria

Andmesh menangis di pentas konsert, terkenang mendiang ibu bapa semasa sampaikan lagu ‘Hanya Rindu’

Andmesh sebak ketika menyanyikan lagu Hanya Rindu.

PENYANYI Andmesh tidak dapat menahan sebak apabila terkenangkan mendiang kedua ibu bapanya sewaktu membuat persembahan di Konsert Andmesh Live in Kuala Lumpur pada malam Ahad.

Andmesh atau nama sebenar Jeandmesh Antonio Kamaleng, 25, mengalirkan air mata sewaktu mendendangkan lagu Luka dan Hanya Rindu yang didedikasikan buat kedua-dua orang tuanya.

Kata Andmesh, bapanya sangat berharap agar satu hari nanti dia dapat beraksi di pentas besar dengan iringan pemuzik.

andmesh2 - 1

Andmesh membawa persembahan penuh emosi.

Namun selepas dia berjaya mencapai impian itu, kedua ibu bapanya pula sudah tiada lagi untuk melihat kejayaan itu.

"Ayah saya benar-benar mendidik saya untuk menjadi apa yang dia inginkan. Saya mencintai muzik kerana ayah saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Impian Andmesh Kamaleng hibur peminat di Malaysia tercapai, tampil konsert tema cinta

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi 'Hanya Rindu' Andmesh Kamaleng pernah hidup sukar... cari nafkah untuk keluarga sejak usia 17 tahun

"Sewaktu kecil, ayah akan marah sekiranya saya salah bermain alat muzik atau bernyanyi, namun ibu pula yang akan membela saya.

"Kedua-dua mereka mempunyai pakej sempurna untuk hal yang sangat luar biasa untuk saya. Tidak kira mereka ada atau tidak, saya percaya mereka menonton di sana," katanya.

Dalam pada itu, Andmesh turut memberi penghormatan kepada kedua adiknya yang turut berada di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre yang hadir menyaksikan konsert sulung penyanyi berkenaan di Kuala Lumpur.

Ayah saya benar-benar mendidik saya untuk menjadi apa yang dia inginkan. Saya mencintai muzik kerana ayah saya.

ANDMESH

PENYANYI

Tambah Andmesh, dia kini tidak lagi mempunyai sesiapa kecuali dua orang adik yang paling berharga dan mereka menjadi sebab dia terus tersenyum.

Malah, kedua-dua adiknya turut naik ke pentas sewaktu penyanyi itu menyampaikan lagu Hanya Rindu dan menangis bersama.

"Saya perlu beri penghormatan kepada kedua-dua adik saya yang datang dari jauh untuk saya.

"Sejak ketiadaan orang tua kami, merekalah harta yang paling bernilai buat saya," ujarnya.

Pada malam itu, penonton juga dikejutkan dengan panggilan video yang dibuat bersama penyanyi popular Indonesia iaitu Mahalini Raharja.

Panggilan video tersebut dibuat sebelum Andmesh menghiburkan penonton dengan lagu Sial.

Malah, penyanyi itu sempat berseloroh dengan perkataan Sial yang membawa maksud berbeza bagi rakyat Malaysia.

andmesh1 - 1

Andmesh membawakan lagu popular Hanya Rindu.

"Mahalini, saya bakal membawakan Sial. Apa salah ya? Sebentar, ada bahasa yang salah. Saya akan menyanyikan Sial," kata Andmesh sambil disambut dengan gelak tawa penonton.

Mahalini turut memberitahu rindu untuk membuat persembahan di Malaysia dan memaklumkan sekiranya diberikan peluang akan menyanyikan lagu Sial 2.0 bersama-sama Andmesh di Kuala Lumpur.

Konsert sulung Andmesh Live in Kuala Lumpur menampilkan 15 buah lagu termasuk Ku Mau Dia, Bisa Tanpamu, Jangan Lupakan Aku, Cinta Luar Biasa, Anugerah Terindah dan Andaikan Kau Datang Kembali iaitu runut bunyi bagi filem Miracle in Cell No. 7.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain