suria

Tahniah! Ahmad Nawab kini bergelar Tan Sri, Fauziah Nawi dan DJ Dave antara terima darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Agong

DJ Dave dan Fauziah merupakan dua anak seni dalam senarai penerima pingat.

PELAKON Fauziah Nawi antara penggiat seni yang tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.

Fauziah, 70, menerima Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM) bagi kategori penggiat seni sebagai pengiktirafan terhadap jasa sepanjang berkecimpungan dalam kerjaya sebagai artis.

Meluahkan rasa syukur atas penganugerahan tersebut, Fauziah juga memberitahu dia tidak pernah mengimpikan dikurniakan darjah kebesaran sebegini.

fauziaj nawi 1

Fauziah masih aktif dalam bidang seni sehingga hari ini.

"Alhamdulillah... bersyukur. Saya tidak pernah bermimpi untuk sebarang penghargaan.

"Dengan pingat ini saya harap dapat memberi lebih banyak khidmat bakti," katanya kepada mStar.

Untuk rekod, Fauziah memulakan kerjaya seni sekitar tahun 1974 sebagai seorang penyanyi sebelum aktif berlakon.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Amy Search terima gelaran Datuk

ARTIKEL BERKAITAN: Francissca Peter dan Siti Fairus terima gelaran Datuk

Dia telah membintangi puluhan drama dan filem sejak 1981 selain turut menjadi jurulatih lakonan buat pelakon baharu.

Antara filem lakonannya adalah seperti Sayang Salmah, Berlari Ke Langit dan Qabil Khushry Qabil Igam.

Fauziah juga pernah menerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman dalam Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31).

dj dave 2

DJ Dave banyak menjalankan kerja kebajikan membatu artis.

Sementara itu, seorang lagi penggiat seni iaitu penyanyi Datuk DJ Dave atau Irwan Shah Abdullah, 75, menerima Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

DJ Dave tersenarai bagi kategori sukarelawan untuk jasanya sebagai Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Nawab turut dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Ahmad Nawab atau Ahmad Khan Nawab Khan, 91, merupakan seorang penggubah lagu, pemain muzik serta penyanyi yang terkenal di Singapura dan Malaysia.

Beliau telah mengubah lebih 2,000 buah lagu sejak penglibatannya dalam dunia seni dalam era 1950-an.

Antara nama-nama besar yang mendapat sentuhan Ahmad Nawab termasuk Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdilillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram.

Tahun ini menyaksikan seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 yang berlangsung di Istana Negara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain