suria

Semua mesin perubatan tidak mampu lagi rawat Rohana Jalil, kuman sudah merebak ke seluruh badan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Rohana pada April lalu.

LEMAH dan masih memerlukan pemantauan pakar! Itulah keadaan terkini kesihatan penyanyi Rohana Jalil yang sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor sejak April lalu.

Menurut pengurusnya yang mahu dikenali sebagai Jepun, Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, 68, berada dalam keadaan stabil, namun keadaan tubuhnya dilaporkan terlalu lemah selepas disahkan mengalami kebocoran usus.

"Keadaan dia sangat lemah tetapi masih stabil. Kebocoran usus yang dialaminya masih belum sembuh lagi.

rohana2 - 1

Rohana masih dirawat di HCTM.

"Sekarang ini doktor tidak boleh buat apa-apa kerana keadaan Rohana terlalu lemah dan kalau nak buat prosedur rawatan seterusnya pun agak susah.

"Rohana tak boleh makan atau minum dan hanya bergantung kepada antibiotik untuk sembuhkan usus yang bocor itu," katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Jepun mendedahkan Rohana tidak lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana penggunaan mesin rawatan sudah tidak mampu merawat penyanyi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rohana Jalil sudah sedar tapi masih kritikal dalam ICU, Jaafar Onn kongsi perkembangan terkini

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar Ibrahim ziarah Rohana Jalil di wad, alami kebocoran usus

Tambah Jepun lagi, kuman akibat kebocoran usus itu telah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.

"Dia sudah tidak boleh dirawat di ICU kerana penggunaan mesin-mesin rawatan semuanya tidak lagi memberi kesan terhadapnya.

"Disebabkan usus telah bocor, kuman-kuman semua telah menyerang ke organ-organ seperti paru-paru dan buah pinggang.

Sekarang ini doktor tidak boleh buat apa-apa kerana keadaan Rohana terlalu lemah.

JEPUN

PENGURUS ROHANA JALIL

"Apabila kuman dah merebak ke organ utama, doktor berkata ada potensi untuk jantungnya berhenti pada bila-bila masa kerana dia pun sudah tidak kuat untuk melawan penyakitnya itu," ujarnya.

Berkongsi punca sebenar masalah kesihatan yang dialami penyanyi lagu Rayuanku itu, Jepun menjelaskan Rohana pernah menjalani pembedahan bariatrik dua tahun lalu di hospital berlainan bagi merawat masalah gastrik.

Rawatan itu dibuat susulan mendapat khidmat nasihat daripada doktor, namun semuanya bertukar menjadi lebih rumit akibat kesan yang dialami pada usus.

"Doktor mencadangkan agar Rohana melakukan pembedahan bariatrik dan katanya dengan melakukan prosedur ini dapat menghilangkan sakit gastriknya.

"Cuma kesilapannya apabila doktor tidak memberitahu kami keadaan usus Rohana selepas melakukan pembedahan itu.

"Doktor hanya memberitahu usus ada luka dan kemerah-merahan tapi doktor tidak memaklumkan sebenarnya ia sudah menjadi teruk," katanya.

rohana3 - 1

Tahap kesihatan Rohana didakwa semakin merosot.

Bagi mengatasi masalah itu, Jepun memberitahu doktor berkenaan hanya memberikan ubat antibiotik bagi merawat usus Rohana dan melakukan rawatan susulan tanpa diminta untuk merujuk ke hospital pakar.

Selaku pengurus yang telah menjaga Rohana selama 20 tahun, Jepun berasa kesal dengan tindakan pihak hospital berkenaan kerana tidak memaklumkan perkara sebenar kepada mereka.

"Pihak hospital memberikan ubat antibiotik dan katanya Rohana akan sembuh. Sebagai pesakit, kami percaya dengan nasihat doktor itu dan ikut saja seperti yang disarankan.

"Tetapi sebenarnya ia langsung tidak membantu. Sepatutnya dia sebagai pakar perut menasihatkan kami untuk merujuk kepada doktor pakar.

"Namun, dia ambil tindakan sendiri dan meneruskan dengan rawatan susulan yang mana tidak juga memberikan kesembuhan kepada Rohana," jelasnya.

Sementara itu, Jepun memberitahu sebelum ini pihak hospital menyarankan agar Rohana tidak menerima pelawat selain ahli keluarga bagi mengelakkan terkena jangkitan kuman.

Bagaimanapun, melihatkan keadaan Rohana yang semakin tenat, penyanyi itu dibenarkan untuk menerima pelawat.

"Kami memang menghadkan pelawat untuk datang menziarah Rohana atas nasihat doktor juga kerana bimbang dijangkiti kuman.

rohana1 - 1

Rohana bersama anaknya, Kilafairy.

"Tapi melihatkan keadaannya sekarang, saya sudah mula meminta rakan-rakan baiknya untuk datang melawat.

"Cuma saya mohon maaf kerana tidak boleh beri izin untuk semua datang melawat kerana terlalu ramai. Jadi, mana-mana rakan artis yang baik dengan Rohana, mereka boleh datang melawat," katanya.

Pada April lalu, Rohana dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke ICU HCTM (UKM) akibat mengalami kebocoran usus.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain