suria

A. Aida sebak terima menantu, pelepasan burung simbolik pernikahan anak

Ameng (kiri sekali) dan A. Aida bersama anak mereka Aleesa dan menantu Zain.

SELEPAS dua bulan mengikat tali pertunangan, anak kepada penerbit Datuk A. Aida iaitu Wan Az Aleesa selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Zain Azrai Abdul Aziz dengan sekali lafaz pada pukul 11.15 pagi Sabtu.

Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu penyanyi Ameng Spring atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail disaksikan oleh Penolong Pendaftar dan Imam Genting Highlands, Fawwaz Zarin Che Lah.

Pada majlis yang berlangsung di Kasturi D Manggis, Janda Baik, Pahang itu, Aleesa, 27, menerima mas kahwin sebanyak RM22.50 berserta wang hantaran RM25,000 dan seutas gelang emas.

aleesa 3

Aleesa meluahkan rasa syukur majlis berjalan lancar.

Dalam pada itu, pihak pengantin perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran dibalas lima oleh pengantin lelaki.

Meluahkan rasa syukur majlis berjalan lancar, Aleesa juga memberitahu dia dan suami tidak merancang untuk berbulan madu dalam masa terdekat.

Malah pasangan ini akan tinggal berjauhan memandangkan Aleesa bakal terbang ke Indonesia bagi melanjutkan pelajaran sementara Zain pula masih bekerja di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Ameng hadir majlis pertunangan anak bukti A. Aida tak pernah bermusuh, mahu bekas suami jadi wali

ARTIKEL BERKAITAN: Cemburu lihat orang lain bahagia, A. Aida doa jumpa jodoh terakhir... mahu lelaki berkarier dan penampilan menarik

"Syukur semua yang dirancang menjadi kenyataan dan majlis berjalan lancar.

"Selepas bergelar isteri saya akan akan ke Indonesia bagi meneruskan kuliah di sana. Jadi kami tidak merancang untuk berbulan madu dalam masa terdekat.

"Kami kena jadi pasangan jarak jauh sebab komitmen masing-masing. Walau pun berat tetapi kami kena kuat untuk kebaikan masing-masing," katanya kepada mStar.

aleesa 1

Ameng dan A. Aida di hari pernikahan anak mereka.

Menariknya, terdapat upacara simbolik pelepasan 50 ekor burung merpati dilakukan sejurus selesai berlangsungnya majlis akad nikah tersebut.

Sementara itu A. Aida menzahirkan rasa syukur dan hiba apabila majlis anaknya itu selesai.

“Akhirnya mama terpaksa lepaskan Aleesa juga kepada orang lain yang akan menjaga awak nanti.

aleesa 4

Simbolik melepaskan burung merpati di hari bahagia Aleesa dan Zain.

“Terima kasih Aleesa kerana menjadikan mama seorang wanita sempurna sebagai ibu,” ucapnya dalam nada sebak.

Majlis tersebut dihadiri keluarga, teman rapat serta rakan-rakan artis seperti Zamani, Farahdhiya dan Eddie Hamid.

Aleesa dan Zain, 27, melangsungkan pertunangan pada 20 Mei lalu di lokasi sama.

Untuk rekod, A. Aida pernah mendirikan rumah tangga dengan Ameng pada 1994 namun bercerai pada 2003.

Selain Aleesa, mereka juga mempunyai seorang lagi cahaya mata iaitu Wan Azevanatassha, 22.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain