suria

Siti Nordiana alami masalah peti suara, rupanya sudah 5 kali dijangkiti Covid-19

Nana kini dalam proses pemulihan masalah suara.

SERING kali menerima kritikan susulan persembahan kurang berkualiti apabila tampil di acara pentas, penyanyi Siti Nordiana mendedahkan dia mengalami masalah pada bahagian peti suara.

Siti Nordiana Alias atau mesra disapa Nana, 39, berkata, masalah tersebut dipercayai berlaku disebabkan kesan sampingan susulan pernah lima kali terkena jangkitan Covid-19 sebelum ini.

Malah kata Nana dia masih dalam proses pemulihan selepas melakukan pemeriksaan dan mendapat nasihat doktor.

"Saya ada masalah sikit pada bahagian peti suara disebabkan terkena jangkitan Covid-19 sebelum ini. Banyak kali terkena, tak tahulah kenapa suka sangat 'dia' datang sampai lima kali saya dapat.

nana 2

Nana terima kritikan dengan hati terbuka.

"Apabila mula sedar ada masalah itu saya dapatkan nasihat doktor dan kini dalam proses 'healing'. Saya makan ubat untuk proses pulihkan suara sejak Jun lalu," katanya kepada mStar.

Nana ditemui ketika sidang media memperkenalkan barisan peserta program All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Selasa.

Menerima semua kritikan secara terbuka, Nana juga sentiasa mengkaji kelemahan pada teknik nyanyian yang boleh diperbaiki supaya tidak berlaku masalah suara keterluan ketika di atas pentas.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 bekas juara berentap semula, gelanggang All Stars Gegar Vaganza bermula 24 September

ARTIKEL BERKAITAN: Betul-betul mencabar vokal, Siti Nordiana bayangkan kisah hubungan toksik dalam ‘Arah Cinta’

Dalam keadaan kesihatan suara yang masih belum pulih sepenuhnya, juara Gegar Vaganza musim kedua ini berani menyahut cabaran bersaing kembali dengan sembilan juara program tersebut.

"Saya kenalah cuba dulu sertai GV kali ini. Tak mahu mengalah awal sebelum mencuba. GV pun sudah banyak berjasa kepada saya dan ini adalah cara saya untuk menghargai produksi.

Saya tak boleh nak berhenti menyanyi kerana ini punca rezeki.

SITI NORDIANA

PENYANYI

"Bagaimanapun saya tak boleh nak berhenti menyanyi kerana ini punca rezeki. Doakan kesihatan saya akan kembali pulih.

"Semua kritikan yang diberikan saya terima... Apabila dikritik tidak bermaksud saya sudah tidak pandai menyanyi. Perlu kaji semula dan tambah baik apa yang perlu," ujarnya.

All Stars Gegar Vaganza akan mula bersiaran pada 24 September ini menampilkan 10 orang juara Gegar Vaganza dari musim pertama hingga musim kesembilan.

nana 3

Barisan peserta All Stars Gegar Vaganza.

Sementara itu, bercakap lanjut tentang masalah yang dihadapi, Nana tidak menyekat sebarang aktiviti persembahan pentas namun kurang membuat kemunculan di kaca televisyen.

"Show berjalan seperti biasa cuma saya kurang masuk TV. Bila terlibat dengan program TV, suara kita akan lebih jelas kedengaran, jadi saya kurang ambil tawaran disebabkan masalah ini.

"Bagaimanapun saya tak boleh nak berhenti menyanyi kerana ini punca rezeki. Doakan kesihatan saya akan kembali pulih," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain