PELAKON Tracie Sinidol yang berasal dari Sabah mengakui sukar bagi dirinya untuk bertutur dalam dialek Semenanjung disebabkan tidak mempunyai ramai kenalan. Tracie, 22, bagaimanapun berkata, dia akan sentiasa berusaha sedaya upaya bagi memastikan setiap lakonan yang dibawa tidak kedengaran dialek Sabah yang keterlaluan. "Ia agak sukar bagi saya. Masa mula-mula datang penggambaran untuk Luruhnya Bunga Cinta, dialek Sabah sangat-sangat pekat. Tracie akan sentiasa berikan yang terbaik untuk menjayakan drama itu. "Jadi, saya memang perlu kurangkan dialek itu. Saya tidak banyak kawan, jadi macam mana saya nak belajar? Saya banyakkan bergaul dengan semua krew yang ada untuk bertutur seperti orang Semenanjung," katanya. Tracie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Luruhnya Bunga Cinta pada Ahad lalu. Pemenang Dewi Remaja 2022 itu berkata, bagi menjayakan drama tersebut, dia mula belajar bertutur dialek Semenanjung sejak April lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Lesung pipit pun sama! Mira Filzah anggap Tracie Sinidol ’kembar’ terpisah, peminat puji dua-dua jelita ARTIKEL BERKAITAN: “Stop la!” - Tracie mahu dikenali atas bakat sendiri, enggan dibayangi nama Mira Filzah Tracie juga mengakui bahawa dia takut akan kecaman yang dilontarkan kepada dirinya berkenaan perkara itu. "Saya takut (kecaman) tapi orang tak boleh nak jangka lebih. Saya perlu masa. Tapi tidak mengapa, saya akan belajar banyak lagi untuk drama ini (Luruhnya Bunga Cinta). Bercerita mengenai drama yang diadaptasi dari k-drama popular dari Korea berjudul Autumn in My Heart, Tracie berkata ia merupakan kali pertama dirinya mendapat watak sebagai heroin. Saya takut dikecam, tetapi saya akan belajar banyak untuk tingkatkan lakonan saya TRACIE SINIDOL PELAKON Jelasnya, walaupun watak tersebut sukar kerana perlu bermain dengan banyak emosi, dia akan tetap memberikan yang terbaik supaya penonton berasa puas melihatnya. "Ini kali pertama saya bawa watak utama. Saya rasa gementar. Jadi, bila saya takut, saya akan banyakkan latihan sebelum sesi penggambaran untuk hilangkan tekanan," ujarnya. Tracie juga menyelar dakwaan bahawa wajahnya yang seakan-akan Mira Filzah menjadi kelebihan kepada dirinya untuk mendapat watak utama dalam drama itu. Barisan pelakon drama Luruhnya Bunga Cinta. "Drama ini memerlukan bakat. Ia bukan pasal muka sahaja. Saya datang uji bakat dan akhirnya dapat panggilan untuk membawa watak ini," katanya. Drama tersebut bakal ditayangkan di TV3 bermula pada 19 September. Antara barisan pelakon yang terlibat adalah Redza Rosli, Aniq Durar, Bella Luna, Auni Yusrii, Nabila Razali dan ramai lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!