suria

mStar papar 10 selebriti dalam kesusahan, program ‘mStar Baek’ mula bersiaran setiap Khamis

mStar Baek bakal bersiaran langsung bermula Khamis, 4 Oktober.

PORTAL mStar bakal menampilkan sebuah program terbaharu iaitu mStar Baek yang merupakah inisiatif menyantuni masyarakat memerlukan terutamanya golongan selebriti yang selama ini menjadi medium penghibur kepada orang ramai melalui bakat mereka.

Ketua Pengarang mStar, Niezam Abdullah berkata, program tersebut tercetus setelah melihat beberapa penggiat seni dilanda kesusahan akibat ditimpa ujian hidup termasuk penyakit kronik.

"Golongan ini seakan-akan tidak dipedulikan sedangkan mereka pernah menabur bakti kepada masyarakat menerusi bakat seni masing-masing.

"mStar banyak mengetengahkan perkembangan dunia hiburan tempatan merasakan bertanggungjawab membantu golongan ini menerusi projek tanggungjawab sosial korporat iaitu mStar Baek," katanya.

mstar baek 2

Niezam ketika majlis Pelancaran mStar Baek.

mStar Baek akan mula bersiaran setiap hari Khamis bermula 5 Oktober 2023 sebanyak 10 episod yang akan disiarkan menerusi portal mStar, YouTube, Facebook dan semua platform media sosialnya.

Dalam pada itu, Niezam berkata, mStar turut mendapat kerjasama dan tajaan daripada pengasas produk Noir Health & Beuty iaitu Eriyca Baiduri atau lebih mesra dengan sapaan Madammu yang menyantuni 10 selebriti terpilih dalam program itu.

Madammu katanya menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan lain buat semua selebriti yang disantuni.

Antara selebriti yang disantuni termasuklah Zaiton Sameon, Bad Indigo, Mak Wan Latah, Ibnor Riza, Mak Jah, Roy (Ratnaku) dan Izwan Fitri.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] mStar terus kukuh sambut Sweet-18, lancar ‘mStar Baek’

ARTIKEL BERKAITAN: Golongan artis juga banyak berjasa, Bernas turut beri sumbangan kepada selebriti veteran dalam mStar Baek

Niezam memberitahu dengan paparan yang dikongsi menerusi program tersebut diharap dapat membuka jalan agar golongan ini akan terus dibantu oleh pelbagai pihak lain.

"Kami percaya ramai lagi penggiat seni yang diuji dengan pelbagai cabaran hidup dan berharap program mStar Baek ini mampu menjadi platform dalam membantu golongan ini dengan kerjasama pihak-pihak tertentu yang bersedia bekerjasama sebagai penaja," katanya.

Sementara itu, Madammu berkata, kolaborasi bersama mStar bertepatan dengan objektif syarikatnya dalam membantu golongan memerlukan.

Kata Madammu, peluang menjadi penaja mStar Baek tidak boleh dilepaskan memandangkan Noir sendiri banyak mengadakan CSR dalam membantu mereka yang memerlukan bantuan.

mstar baek 1

Madammu ketika menyampaikan sagu hati kepada penerima.

"Apabila mendapat tahu tentang projek mStar Baek, saya rasa objektif kami sama dan saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan mStar untuk program ini," katanya.

Tambah wanita berusia 34 tahun itu, keadaan ekonomi yang tidak menentu membuatkan dia berasa terpanggil untuk berkongsi rezeki dengan rakan selebriti yang memerlukan.

"Kalau tengok pada ekonomi sekarang ramai yang terjejas dengan krisis ekonomi yang berlaku. Jadi saya rasa ini peluang yang patut saya ambil dan perlu sentiasa beringat dalam rezeki kita ada rezeki orang lain.

"Mengapa tidak jika kita mahu berkongsi rezeki. Jadi bila ada platform seperti mStar Baek ini saya rasa sangat sesuai untuk Noir berkolaborasi dan laksanakan tanggungjawab kita untuk bantu orang lain," ujarnya.

Madammu turut mengakui berasa terharu mendengar sendiri cerita dan pengalaman artis-artis yang dibantu dalam segmen mStar Baek apabila bertemu mereka sendiri ketika menjalani penggambaran.

mstar baek 3

Episod 1 bakal menampilkan Zaiton Sameon.

"Perasaan saya sangat terharu, contohnya kisah Zaiton Sameon di mana kita tahu dia dahulunya berada di kemuncak dalam kerjayanya dan kita tak jangka secara tiba-tiba semuanya berubah.

"Jadi bila saya turut sama pergi jumpa artis-artis ini banyak yang saya pelajari, dalam hidup kita ni tak boleh sentiasa berfikir selalu berada di atas ada kalanya kita berada di bawah juga.

"Banyak perkara yang saya ambil dan jadikan muhasabah diri untuk tidak sentiasa melihat ke atas ada waktu perlu lihat di bawah," jelasnya.

Selain Noir, para selebriti terlibat turut mendapat sumbangan berupa barangan keperluan asas daripada Bernas serta produk kesihatan daripada Eskayvie.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain