CEF selebriti Datuk Redzuawan Ismail menjelaskan laporan mengatakan dia sudah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 13 kitaran adalah tidak benar. Redzuawan atau lebih mesra dengan sapaan Chef Wan sebaliknya berkata, ketika ini dia baru menyelesaikan empat kitaran rawatan tersebut. Kata Chef Wan, dia sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan dirinya jika sudah melalui kesemua proses rawatan berkenaan. Chef Wan mendedahkan menghidap kanser limfoma pada Ogos lalu. "Macam mana empat kitaran kimoterapi tapi penulis boleh tulis sampai 13 ni? "Kalau 13 kimoterapi, atok (Chef Wan) dari buah kana boleh jadi asam boi... empat kitaran ini pun sudah cukup seksanya," katanya. Chef Wan berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran dimuat naik di Instagram miliknya. ARTIKEL BERKAITAN: Rawatan kimoterapi buat rambut gugur teruk, Chef Wan tampil imej kepala botak ARTIKEL BERKAITAN: Chef Wan disahkan hidap kanser limfoma, bakal mula rawatan kimoterapi Dalam pada itu, Chef Wan memberitahu dia sudah empat hari berada di hospital bagi menjalani rawatan kimoterapi bagi kitaran keempat. Jelasnya, jika tidak mempunyai sebarang masalah, dia akan dibenarkan pulang ke rumah pada Ahad ini. "Selamat pagi... saya sudah empat hari di hospital untuk menjalani kitaran keempat kimoterapi. Chef Wan sentiasa positif tentang penyakit dihidapinya. "Alhamdulillah tidak banyak berlaku kesan sampingan melainkan ruam pada kulit... kata doktor sekiranya semua baik-baik, pagi Ahad saya dibenarkan pulang ke rumah," ujarnya. Pada awal Ogos lalu, Chef Wan mendedahkan dia sahkan menghidap kanser limfoma selepas melakukan ujian electrocardiogram (ECG) sebanyak dua kali. Justeru itu, dia perlu menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 13 kitaran untuk jangka masa selama 13 minggu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!