PELAKON Angeline Tan memberitahu suaminya Sabri Yunus adalah individu bertanggungjawab dalam memperkenalkan dan membuatkan dia terbuka hati mendekati agama Islam. Angeline atau nama Islamnya Ardini Angeline Tan Yoke Yeah, 56, berkata, meskipun mempunyai sedikit pengetahuan tentang agama Islam namun Sabri banyak mengajarnya tentang agama itu setiap kali dia mempunyai kemusykilan. Malah pelakon dan pengarah itu juga memperkenalkan dia kepada ceramah Mufti Perlis iaitu Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam memantapkan lagi pengetahuan tentang Islam. "Sebenarnya saya faham serba sedikit tentang agama Islam sebab saya banyak berlakon dan berkawan dengan orang Melayu. Angeline memeluk Islam pada 26 September lalu. "Saya terbuka hati memeluk Islam juga kerana Sabri banyak mengajar saya mengenali agama ini. "Apabila berkawan dengannya, banyak yang dia ajar, cerita dan bimbing. Saya kagum tengok cara dia mengajar, dia guru pertama saya," katanya ketika dihubungi mStar pada Ahad. Angeline mengucapkan kalimah dua syahadah pada 26 September lalu di Kelantan. Pada Sabtu, Angeline dan Sabri, 62, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis akad nikah yang disempurnakan oleh Asri atau Dr Maza di kediamannya di Perlis. ARTIKEL BERKAITAN: Ceramah Dr Maza cara Angeline Tan dalami Islam, Sabri Yunus pilih nama Ardini dalam tempoh 2 minit - “Maksudnya isteri yang menyayangi” ARTIKEL BERKAITAN: Sabri Yunus tamat zaman duda, kini suami pelakon ‘Pi Mai Pi Mai Tang Tu’ Angeline Tan Dalam pada itu, Angeline berkata, dia bersyukur apabila keluarga termasuk dua anaknya menerima dengan hati terbuka dengan keputusan memeluk Islam dan berkahwin dengan Sabri. Kata Angeline, menjadi tanggungjawabnya kini untuk menunjukkan contoh yang baik kepada mereka mengenai penghijrahannya itu. "Alhamdulillah keluarga termasuk anak-anak terima dengan baik. Jadi saya perlu tunjuk contoh serta tauladan yang baik kepada mereka," jelasnya. Bercerita tentang Sabri, Angeline berkata, suaminya itu bukan sahaja penyayang dan prihatin tetapi seorang lelaki yang ikhlas sejak mengenalinya hampir 30 tahun lalu. Saya terbuka hati memeluk Islam juga kerana Sabri banyak mengajar saya mengenali agama ini. ANGELINE TAN PELAKON Katanya, ciri-ciri yang ada pada Sabri itu membuatkan tidak sukar menerima cinta aktor tersohor itu malah menyifatkan ia sebagai pilihan terbaik dan tepat. "Sebenarnya kita tak rancang (bercinta), tetapi persahabatan yang terjalin sejak dahulu bertukar menjadi sayang... Perasaan itu datang secara semula jadi. "Semua yang baik ada dalam diri Sabri, sangat istimewa. Dia ikhlas, penyayang, prihatin dan paling penting boleh bimbing saya ke arah yang baik. "Jika dia ada di sisi saya, daripada ada perasaan marah terus bertukar tenang sebab adanya dia," katanya. Sabri dan Angeline bernikah pada 14 Oktober. Angeline dan Sabri cukup popular menerusi watak Wan Ismail Golok dan Lucy menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang pernah disiarkan di TV3 pada awal 1990-an. Untuk rekod Sabri Yunus pernah mendirikan rumah tangga dengan Norraya Mohd Yusof dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya matanya. Norraya bagaimanapun meninggal dunia akibat kanser pada Ogos 2007. Sementara itu, Angeline pula mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!