SEBAGAI tanda menunjukkan solidariti terhadap kekejaman di Palestin, pempengaruh media sosial Ceddy Ang turut tidak ketinggalan mengambil peluang berhimpun bersama rakyat Malaysia menyatakan sokongan pada perhimpunan yang diadakan pada Ahad. Kata Ceddy, 35, perhimpunan aman yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu bukan hanya berkaitan agama semata-mata, namun merupakan isu kemanusiaan. "Saya berada di perhimpunan aman di Dataran Merdeka anjuran @vivapalestinamy dan hati saya berpuas hati melihat orang dari semua kaum dan agama berkumpul. Jelas ini bukan hanya tentang agama, ia tentang kemanusiaan. Ceddy turut bersimpati terhadap apa yang berlaku di bumi Palestin. "Berdiri sebelah menyebelah, bersatu untuk keadilan dan kebebasan, kita diingatkan bahawa semangat kemanusiaan yang dikongsi menjadikan kita lebih erat daripada sebarang perbezaan yang ada di antara kita," katanya. Ceddy berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Ahad. Ceddy yang memakai baju serba hijau bersama mafla bendera Palestin diletakkan di bahu tanpa segan silu melaungkan slogan 'From the river to the sea, Palestine will be free!' ARTIKEL BERKAITAN: Puasa kerana ‘content’ semata-mata... Ceddy tiada niat persenda agama, gigih sebulan bangun sahur ARTIKEL BERKAITAN: Ceddy cuba puasa, terkejut keajaiban air nabeez langsung tak rasa haus - “Dulu saya sahur macam kenduri” Dalam masa sama, personaliti media sosial itu berkata, perhimpunan tersebut diadakan bagi meningkatkan kesedaran, menunjukkan perpaduan selain bantahan terhadap rejim zionis itu didengari ramai. "Kepada orang yang mungkin mempunyai soalan seperti apakah tujuan perhimpunan ini? Perhimpunan baik seperti ini adalah cara yang baik untuk meningkatkan kesedaran, menunjukkan perpaduan dan menjadikan suara kolektif kita didengari di pentas global. "Ia juga mengenai mempengaruhi pendapat umum, yang seterusnya boleh mempengaruhi pemimpin dan badan antarabangsa kita untuk mengambil tindakan," ujarnya. Orang ramai berkumpul di Dataran Merdeka sejak pukul 9 pagi. Untuk rekod, perhimpunan tersebut dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE). Orang ramai berkumpul di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sejak pukul 9 pagi untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin. Bukan sahaja warganegara dan juga umat Islam, malahan rakyat asing dan agama lain turut kelihatan menyatakan sokongan kepada perhimpunan yang bertemakan Freedom For Palestine itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!