TIDAK mudah buat pelakon Kilafairy untuk terus melupakan pemergian ibunya iaitu Allahyarham Rohana Jalil yang meninggal dunia pada 20 Jun lalu. Menurut Kilafairy atau Syakila Nisa Jaghir Khan, 31, hanya video lama nyanyian ibunya itu sebagai pengubat rindu serta mengimbau kembali kenangan ketika bersama. Malah katanya juga, selepas lima bulan arwah Rohana pergi dia hanya mampu berpura-pura gembira ketika bertemu orang ramai sedangkan hatinya merasakan kosong. "Saya beritahu diri sendiri memang tidak boleh melepaskan kesedihan selepas pemergian mama (Rohana), tiada hari yang saya tidak merasa sedih. Rasa rindu sehingga kini masih ada dan jiwa saya kosong. Kilafairy belum sedia untuk melepaskan barang-barang peribadi arwah ibunya. "Kalau rindu saya akan tonton video lama nyanyian arwah. Baru-baru ini pun ada program TV yang menyiarkan nyanyian arwah, itu juga buat saya lepas rindu. "Keluarga lain pun pelik sebab saya boleh tonton, tapi itulah cara saya lepas rindu. Namun kalau keluar rumah saya hanya berpura-pura gembira sedangkan hati sangat remuk," katanya kepada mStar. Kilafairy ditemui ketika majlis pelancaran koleksi A Decade of Wows & Veils dari pereka fesyen Shanell Harun di Kuala Lumpur pada malam Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Kilafairy beli rumah sebelum umur 30 tahun, tapi lebih selesa menetap di kediaman arwah ibu... “Setiap sudut mengingatkan saya kepada dia” ARTIKEL BERKAITAN: Rohana Jalil meninggal dunia Hadir pada majlis tersebut, Kilafairy turut memakai baju rekaan Shanell yang pernah digayakan oleh ibunya ketika membuat persembahan tahun lalu. Menurutnya lagi ramai dalam kalangan rakan-rakan Rohana yang meminta untuk mendapatkan mana-mana baju penyanyi itu untuk dibuat kenangan. Mama memang baik dengan semua orang, sekarang dia dah tiada. Saya tak tahu boleh ke jadi seperti dia. KILAFAIRY PELAKON "Susah untuk saya pakai baju arwah. Masih ada bau dan kenangan bersama dia. Kawan-kawan mama pun ramai yang minta baju arwah, cuma saya belum berikan lagi. Jika saya beri dan mereka guna sebaik mungkin itu adalah yang terbaik. "Di rumah masih banyak koleksi baju arwah. Rasanya penuh sebilik sebab dia masih simpan baju yang dipakai sejak awal menyanyi dahulu. Barang-barang mama pun tidak banyak yang saya usik lagi sebab terlalu sukar. "Selepas mama meninggal dunia banyak perkara berlaku. Ada yang pasangkan batu nisan pada kuburnya dan ada pula yang datang membersihkan. Dari situ saya tahu mama disayangi ramai," ujarnya. Kilafairy memakai baju dari koleksi arwah ibu yang direka sendiri oleh Shanell. Untuk rekod Rohana Jalil atau Dara Abdul Jalil meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Mukhriz (HCTM), Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat pada usia 68 tahun akibat kebocoran usus. Tambah Kilafairy pemergian ibu juga sentiasa mengiaktkan dirinya supaya sentiasa memperbaiki diri agar lebih disayangi ramai. "Mama memang baik dengan semua orang, sekarang dia dah tiada. Saya tak tahu boleh ke jadi seperti dia," luahnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!