suria

Izzue Islam terkejut ramai ucap tahniah, rupanya video tular ada anak angkat tidak benar... “Sekarang bayi itu pun dah empat tahun”

Izzue dan isteri bimbang akaun palsu media sosial boleh menimbulkan kekeliruan.

PELAKON dan pengacara Izzue Islam terkejut apabila mendapat tahu ada individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama isteri di media sosial dan menyebarkan berita tidak benar kononnya mereka kini sudah memiliki seorang anak angkat.

Kata Izzue atau Muhammad Izzul Islam Mazlan, 33, tindakan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat termasuklah ahli keluarga mereka sendiri.

Malah, dia bimbang jika berita tidak benar itu menyebabkan mereka dianggap sebagai penipu kerana bayi yang dilihat dalam video itu tiada bersama mereka.

izzue islam 2

Akaun media sosial yang menunjukkan kononnya Izzue kini mengambil anak angkat.

"Apabila ada akaun palsu sebegini ramai yang keliru. Tambah pula perkongsian tersebut mendapat banyak komen dan like. Mungkin ada yang anggap ia cerita betul.

"Ramai yang sudah mula buat spekulasi. Ada juga yang sudah mengucapkan tahniah kepada kami. Memang ia satu berita baik, tetapi tak elok kalau dilakukan begini.

"Kalau betul kami ada anak angkat, mana bayi itu sekarang? Jadi saya tak mahu orang anggap kami penipu apabila tidak melihat bayi tersebut ada bersama," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas dikecam, Izzue Islam lebih banyak beli baju baharu... Isteri ajar simpan 70 peratus pendapatan

ARTIKEL BERKAITAN: Untung Izzue Islam dapat isteri tak banyak songeh, selesa hidup sederhana... “Dia tidak pernah minta bukan-bukan”

Pengacara program Famii Duo musim ketiga ini mengulas mengenai kewujudan satu akaun di aplikasi TikTok menggunakan nama Awin Nurin dan semua perkongsian di akaun tersebut memaparkan gambar mereka berdua.

Bercakap mengenai dakwaan sudah memiliki anak angkat itu, Izzue menjelaskan bayi lelaki tersebut adalah anak saudaranya dan video berkenaan juga merupakan rakaman sekitar empat tahun lalu.

"Itu video lama. Bayi dalam video tersebut dah berusia empat tahun sekarang. Bayi itu anak saudara kami.

Kepada pengikut saya sekiranya ragu-ragu, boleh terus bertanya dan jangan terlalu mudah percaya

IZZUE ISLAM

PELAKON/PENGACARA

"Namun kami tidak kisah pun tentang video tersebut kerana melihat komen-komen, semuanya mendoakan yang terbaik. Kewujudan akan palsu begini memang tidak boleh dibendung lagi sebab dah banyak akaun guna nama saya dan isteri di sosial media," ujarnya.

Tambah Izzue lagi kewujudan akaun palsu ini bukan pertama kali berlaku dan ada juga yang cuba mengambil kesempatan menipu orang ramai menerusi jualan produk.

Izzue juga sempat berkongsi nasihat agar pengguna media sosial menghentikan tindakan sedemikian dan meminta peminat mendapatkan maklumat sahih menerusi akaun rasminya sendiri.

izzue islam 3

Izzue harap peminat dapat bertanya sebarang berita tentangnya bagi mendapatkan kesahihan.

"Sebelum ini ada peminat yang percaya dengan akaun palsu dengan melakukan pembelian barang. Apabila sedar ditipu barulah rujuk ke akaun sebenar saya.

"Bimbang juga jika ada perkongsian video yang tidak elok. Kepada pengikut saya sekiranya ragu-ragu, boleh terus bertanya dan jangan terlalu mudah percaya," jelasnya.

Untuk rekod, Izzue bernikah dengan Awin yang juga merupakan pengurusnya pada Jun 2013.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain