PENYANYI Ernie Zakri mampu menarik nafas lega seusai tamat membuat persembahan melalui lagu Astana di Separuh Akhir Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) pada petang Sabtu. Kata Ernie, kehadiran dan perjuangannya mempersembahkan lagu tersebut adalah demi peminat yang sudah mengundi lagu berkenaan menerusi carta Muzik-Muzik. “Alhamdulillah sudah tentu saya berasa lega dan sebenarnya saya buat persembahan ini demi peminat yang sama-sama berjuang untuk lagu Astana,” katanya kepada mStar. Ernie berkongsi perkara itu selepas selesai melakukan persembahan di SFMM38 di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam pada Sabtu. Pelbagai isu melanda Ernie berhubung SFMM38 dan lagu Astana. Tambah Ernie, dia berjanji akan memberikan persembahan terbaik jika lagu itu berjaya melangkah masuk ke Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) tahun depan. "Kalau ada rezeki ke AJL, saya akan cuba menebus segala apa harus ditebus. "Doakan yang baik-baik untuk lagu ini... Sudah pasti saya meletakkan harapan tinggi seperti mana diharapkan peminat, insya-Allah," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Isu selesai! Syarikat rakaman sepakat henti perbalahan, Ernie Zakri nyanyi ‘Astana’ di SFMM38 ARTIKEL BERKAITAN: Ganti penyanyi dibuat tanpa pengetahuan, Ernie Zakri tak teragak-agak tarik diri dari SFMM38 Sebelum ini, pengumuman Nadeera pengganti Ernie bagi menyanyikan lagu Astana mengejutkan ramai pihak terutama dalam kalangan peminat. Bagaimanapun, Rocketfuel dalam satu komen di Instagram mereka menjelaskan keputusan tersebut dibuat adalah atas persetujuan Ernie sendiri yang memutuskan untuk tidak menyanyikan lagu tersebut. Tampil membidas dakwaan itu, Ernie menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat rakaman Rocketfuel yang menyatakan dia enggan untuk menyanyikan lagu tersebut. Isu itu bagaimanapun selesai apabila Rocketfuel dan Universal Music Malaysia setuju menghentikan pertikaian dan Ernie akan menyanyikan sendiri lagu tersebut. Ernie berharap Astana mara ke AJL38 tahun depan. Sebanyak 10 buah lagu dipertandingkan pada hari kedua SFMM38 termasuk Korbankan Kita (MOJO), Kamu Kamu (Wani Kayrie), Alah Bisa (Amira Othman dan Putera Muhammad) dan Cinta Hanya Buatan (Muna Shahirah dan Afieq Shazwan). Turut bertanding, lagu Cinta Shabiyah (Datin Alyah), Menyantun Kasih (Siti Nordiana), Sejuta Maaf (Liza Hanim), Sutera (Aisha Retno) dan Kalam (Shiha Zikir). Daripada 30 buah lagu yang bertanding di SFMM38, hanya 12 sahaja layak ke AJL38. AJL38 bakal berlangsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, tahun depan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!