suria

Ziana Zain imbau kesukaran hidup ketika PKP, kesihatan terganggu disangka masalah jantung

Tempoh PKP sebelum ini memberi kesan besar buat Ziana.

WABAK Covid-19 yang melanda dunia tiga tahun lalu bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan orang ramai malah kehidupan seharian.

Itu juga dirasai penyanyi Ziana Zain yang turut berdepan dengan kesukaran membesarkan empat anaknya apatah lagi negara ketika itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata Ziana atau Siti Roziana Zain, 55, dia terpaksa menggunakan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak disebabkan tiada undangan persembahan akibat Covid-19.

ziana zain 3

Ziana kuat berdepan dugaan demi anak-anak.

"Ia bermula selepas saya bercerai sehingga tiga ke empat tahun kemudian. Ketika itu tiada kerja dan terpaksa guna duit simpanan memandangkan tiada tawaran disebabkan Covid-19.

"Kalau saya anak dua mungkin tiada masalah tetapi dalam keluarga kami ada lima orang," katanya.

Ziana berkongsi perkara itu menerusi temu bual dalam program Borak Selebriti stesen radio Sinar FM yang dikendalikan oleh Dina Nadzir dan Falyq Hikyle.

ARTIKEL BERKAITAN: Ziana Zain sudah maafkan Armin, tak akan sesekali putuskan hubungan bapa dan anak-anak

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 22 tahun menanti, impian Ziana Zain adakan konsert solo tercapai

Dalam pada itu, Ziana berkata, ketika itu juga kesihatannya terjejas apabila mula mengalami masalah sakit perut disebabkan gastrik dan gerd.

"Sebelum ini saya tahan diri tak makan demi peminat. Itu pengorbanan yang perlu saya lakukan. Ketika PKP saya makan sampai dapat gastrik dan gerd.

"Saya rasa sakit sehingga terpaksa pergi buat pemeriksaan di Institut Jantung Negara sebab menyangka ada masalah jantung tetapi doktor maklumkan saya mengalami gastrik yang teruk," dedahnya.

Saya hanya berserah kepada Allah. Saya berdoa dan percaya Allah pegang rezeki kita

ZIANA ZAIN

MSTAR

Bagaimanapun kata penyanyi lagu Madah Berhelah ini, di sebalik kepayahan dilalui, dia sentiasa percaya akan ketetapan rezeki.

Malah dia tidak pernah putus berdoa agar dikurniakan rezeki buat diri dan anak-anak.

"Saya hanya berserah kepada Allah. Saya berdoa dan percaya Allah pegang rezeki kita. Cuma kita tidak tahu ia datang cepat atau lambat," ceritanya.

ziana zain 2

Ziana bersama empat orang anaknya.

Untuk rekod Ziana pernah mendirikan rumah tangga dengan Armin Zaharin pada 9 Mei 1998 namun mereka sah bercerai pada Julai 2018.

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 23, Muhammad Ammar, 19, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 15.

Dalam perkembangan lain, Ziana bakal muncul dengan konsert solo pertamanya yang akan diadakan di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024.

Tiket menyaksikan konsert itu sudah pun mula dijual menerusi laman web Ticket2U pada harga RM288 (Gold), RM488 (Platinum), RM688 (Diamond), RM888 (VIP 2) dan RM1088 (VIP 1).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain