suria

Suami wartawan Fiza perjelas tak layak dapat manfaat insurans dan kenapa tidak kebumi jenazah di London

Roshdi (dua dari kiri) semasa menerima cek sumbangan daripada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (kanan). Foto BERNAMA

SUAMI kepada wartawan hiburan Allahyarham Fiza Kamarudin menjelaskan keputusan membawa pulang jenazah ke Malaysia selepas memikirkan dua anak mereka yang masih kecil.

Mohd Roshdi Ramli, 41, berkata, sekiranya arwah isterinya disemadikan di tanah air ia lebih memudahkan kedua-dua anaknya menziarahi kubur ibu mereka pada masa hadapan.

Tidak hanya itu, Roshdi memberitahu kos membawa pulang dan pengebumian jenazah di London hampir sama malah dia sudah dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan.

WhatsApp Image 2024-01-07 at 16.49.43

Dodi mahu anak-anak sering melawat pusara ibu mereka.

"Kalau ikutkan kos nak kebumikan di London lebih kurang jika bawa pulang jenazah ke Malaysia. Tanah di sana pun agak mahal iaitu sekitar RM30,000 hingga RM40,000.

"Jadi saya mengambil keputusan bawa pulang sebab anak-anak pun masih kecil, perasaan kehilangan itu belum dapat dirasai sebenar-benarnya.

"Selepas ini mereka boleh menziarahi pusara ibu mereka. Keputusan itu dibuat selepas memikirkan anak-anak," katanya ketika dihubungi mStar pada Ahad.

Dalam pada itu, Roshdi menjelaskan urusan membawa pulang arwah dianggarkan lebih daripada RM30,000 dan ia tidak termasuk kos penginapan serta makan minum dia bersama anak-anak sepanjang menanti urusan selesai.

ARTIKEL BERKAITAN: Gurauan mahu ‘pergi’ jadi nyata, ibu Fiza Kamarudin sempat buat video call sebelum anak meninggal dunia

ARTIEKL BERKAITAN: Wartawan hiburan kritikal di London meninggal dunia

"Sumbangan yang kami terima daripada orang ramai sangat membantu terutamanya dalam membayar kos pengurusan jenazah dan khidmat Mas Kargo," ujarnya.

Sementara itu, Roshdi juga menjelaskan sebelum berlepas ke London pada pertengahan Disember lalu, Fiza sudah menguruskan semua perkara berkaitan insurans perjalanan.

Bagaimanapun kata Roshdi semakan mendapati polisi yang diambil tidak melayakkan arwah isterinya memperoleh manfaat perlindungan tersebut.

"Kami memang ada ambil insurans tapi selepas berbincang dengan pihak insurans dengan menyerahkan sijil kematian dan dokumen berkaitan mereka memaklumkan tidak boleh menampung kos penghantaran pulang dan bil rawatan hospital.

Snapinsta.app_415258610_917611819728756_4058305470225486513_n_1080

Fiza uruskan semua insuran perjalanan sebelum berangkat ke London.

"Kira macam mereka tanggung untuk penyakit tidak berisiko seperti Covid-19, kemalangan atau pun demam panas.

"Insurans ini sebenarnya diuruskan oleh isteri, masa beli mereka tidak pula tanya mengenai tahap kesihatan cuma ada meletakkan beberapa syarat perkara tidak dilindungi," katanya.

Pada Sabtu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menziarahi keluarga Allahyarham dan menyerahkan cek sumbangan menerusi tabung Bantulah Fiza yang dilancarkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

Sumbangan berjaya meraih sejumlah RM50,000 yang dikumpul dalam tempoh dua hari daripada kalangan artis, media dan orang ramai.

Fiza atau Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, menghembuskan nafas terakhir pada 28 Disember lalu selepas mengalami pendarahan dalam otak Hospital Charing Cross, London.

Pada Julai 2018, Fiza disahkan menghidap kanser payudara tahap tiga namun keadaannya kembali pulih sebelum sel barah dilaporkan kembali merebak di dalam tubuhnya.

Jenazah yang tiba di Kuala Lumpur dari London pada pagi Sabtu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathuk Sakinah, Taman Selasih, Kuala Lumpur.

Arwah sebelum ini pernah berkhidmat di akhbar Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan portal Astro Gempak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain