suria

Drama belum dapat buat Mierul Aiman puas, intai peluang berlakon filem biopik

Mierul idam untuk memegang watak dalam filem bergenre biopik.

POPULARITI sebagai pelakon drama belum cukup membuatkan Mierul Aiman berpuas hati dengan apa dimilikinya ketika ini.

Tidak mahu berasa selesa, Mierul atau Mohammad Amirul Aiman Norazman, 26, sebaliknya ada impian yang perlu dicapai iaitu berlakon dalam sebuah filem biopik.

Sasaran itu dibuat kerana filem genre berkenaan adalah karya paling mencabar dan tidak mudah dijayakan bagi mana-mana pelakon.

Mierul 1

Mierul mahu mengembangkan lagi kariernya sebagai pelakon.

"Naskhah paling susah untuk seorang pelakon adalah biopik seperti contoh filem Bohemian Rhapsody, Elvis dan sebagainya.

"Filem ini menceritakan mengenai realiti kehidupan seorang ikon dan dilakonkan oleh pelakon lain.

"Saya tahu mungkin agak sukar tetapi kalau kita berdoa, berharap dan bekerja keras, insya-Allah akan diberi peluang," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Mierul Aiman tunai janji kepada ibu bapa, ijazah bidang kejuruteraan mekanikal kini dalam genggaman

ARTIKEL BERKAITAN: Idam gadis ‘mix’, ini ciri-ciri wanita pilihan Mierul Aiman!

Mierul berkonsi keinginannya itu ketika ditemui pada tayangan episod akhir drama W:Two Worlds yang diadakan baru-baru ini.

Ditanya mengenai tokoh yang ingin dilakonkan kembali, juara Hero Remaja 2021 itu berkongsi mahu membawa biopik ahli sukan.

"Sebenarnya banyak tokoh yang ingin saya bawa dalam filem tapi mungkin figura ahli sukan menjadi pilihan saya.

Saya tahu mungkin agak sukar tetapi kalau berdoa, berharap dan bekerja keras insyaAllah akan diberikan peluang.

MIERUL AIMAN

PELAKON

"Tetapi tidaklah hanya tertumpu kepada ahli sukan tetapi banyak tokoh hebat yang boleh diketengahkan sebagai subjek dalam filem," katanya.

Sementara itu, Mierul tetap berasa syukur apabila sering diberi kepercayaan produksi menjayakan watak dalam banyak drama dan program realiti.

Bagi Mierul semua peluang diberikan sebagai penyuntik semangat dalam memberikan yang terbaik sebagai imbal balik sokongan ramai terhadapnya.

Mierul 2

Mierul sentiasa berikan yang terbaik dalam dunia lakonan.

"Apabila terus mendapat meneroka pengalaman baru baik dari segi lakonan atau cabang lain termasuk komersial, saya anggap ini semua sebagai bukti kepercayaan semua pihak.

"Sebab itu saya enggan ambil ringan sebaliknya mahu terus bekerja keras kerana lakonan adalah karier saya dan perlu dilunaskan dengan sepenuh hati.

"Sudah tentu saya ingin melangkah pula ke layar perak yang saya tahu cabarannya juga besar," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain