suria

Babak pemujaan guna bangkai ayam buat Hariz Hamdan menggeletar, fobia dengan darah selepas tangan digesel tayar

Kejadian sewaktu kecil bawa trauma yang besar buat Hariz.

INSIDEN tangan kiri tergesel pada bahagian tayar kereta ketika usia empat tahun membuatkan pelakon Hariz Hamdan mengalamai ketakutan melampau terhadap darah.

Hariz atau Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 22, berkata, kejadian tersebut turut meninggalkan parut sehingga membuatkan dia terkenang insiden tersebut setiap kali melihat tangannya.

"Dekat tangan kiri saya ini ada parut disebabkan kemalangan waktu kecil. Segar dalam ingatan saya darah memancut keluar ketika itu.

hariz 1

Tangan Hariz bergesel dengan tayar kereta ketika usia masih kecil.

"Saya tidak ingat bagaimana kejadian itu boleh berlaku dengan jelas tetapi tangan kiri saya bergesel dengan tayar kereta menyebabkan darah memancut keluar.

"Sejak itu saya mula fobia dengan darah sehingga ke hari ini," katanya kepada mStar.

Hariz berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada tayangan perdana filem Banglo Seksyen 12 yang berlangsung pada malam Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Hariz Hamdan selesa buat hal sendiri di set penggambaran, tak gemar ambil tahu hal orang

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan wajah dilabel ‘pewaris Megah Holding’, Hariz Hamdan mahu bawa pelbagai watak lakonan

Bagaimanapun kata Hariz, dia mula melawan fobia terhadap darah ketika menjalani penggambaran filem seram tersebut yang bakal menemui penonton pada 25 Januari ini.

Hariz berkata, babak pemujaan menggunakan ayam dan darah menjadi cabaran terbesar sepanjang penggambaran namun berjaya melawan rasa takut dihadapinya.

"Berdebar itu ada sikit, babak pemujaan menggunakan bangkai ayam yang sebenar dan bukan mock up.

WhatsApp Image 2024-01-24 at 02.35.33

Kemalangan tersebut meninggalkan parut pada tangan Hariz.

"Darah yang keluar daripada ayam itu juga darah sebenar. Saya yang memang tak boleh tengok darah memang rasa takut tapi saya lawan," ujarnya.

Selain Hariz, Banglo Seksyen 12 juga dibintangi Intan Ladyana, Mustaqim Bahadon, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek, dan Farah Yasmin.

Filem ini mengisahkan tentang pembunuhan misteri sekumpulan remaja pada tahun 2006 di sebuah banglo menjadi lokasi kegemaran kumpulan paranormal untuk membuat penggambaran sebagai kandungan di platform digital mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain