suria

Peminat asyik minta ‘Mahligai Syahdu, Rendang Tak Berbuah’... Hattan tak mahu buang tenaga buat lagu baharu

Hattan tiada masa rakam lagu baharu.

MILIKI 14 buah lagu hit yang masih lagi menjadi siulan ramai, penyanyi Datuk Hattan memberitahu dia tidak merancang untuk menghasilkan karya baharu.

Hattan, 59, berkata dia enggan membazirkan tenaga dengan menghasilkan karya baharu sekiranya peminatnya masih mahu mendengar lagu-lagu lama.

"Lagu lama saya lebih dapat permintaan, kalau saya pergi mana-mana mereka mahu dengar Mahligai Syahdu, Memburu Rindu, Rendang Tak Berbuah dan banyak lagi.

hattan

Hattan lebih suka menyanyi bersama peminat dengan lagu lamanya.

"Kalau rakam lagi baharu dan peminat tidak tahu menyanyi pun tak seronok juga. Lebih baik nyanyi lagu yang mereka tahu.

"Saya ada lebih 14 lagu hit, rasanya sudah cukup. Kalau menyanyi dalam sejam pun dah letih," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Hattan memberitahu ada penyanyi baharu meluahkan hasrat untuk berkerjasama dengan dirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali berkongsi satu pentas, Hattan dedah perjalanan awal berguru dengan M. Nasir

ARTIKEL BERKAITAN: Gosip konsert Sifu dan Aku batal hanya khabar angin, Hattan maklum tiket sudah terjual 50 peratus

Namun dia terpaksa menolak disebabkan genre tidak sesuai selain bimbang tidak mampu memberi komitmen sepenuhnya.

"Ada beberapa orang ajak buat duet bersama dengan bawa lagu genre mereka. Tapi saya rasa tak kena dengan saya.

"Lagi pun kalau saya terima takut tidak mampu lakukan promosi bersama-sama memandangkan saya sibuk orangnya," luahnya.

Hattan bagaimanapun berkata dia tidak menolak untuk berduet dengan mana-mana penyanyi namun dia mahukan karya yang berlainan.

553 (2)

Hattan mahu berkerjasama dengan Yonnyboii.

Malah dia berminat untuk berkerjasama dengan Yonnyboii kerana tertarik dengan karya yang dihasilkan.

"Saya kalau nak berduet saya akan pilih Yonnyboi... saya rasa dia ada benda yang boleh diterokai.

"Dia mencipta lagu pun terlihat lain dan bijak. Saya minat nak berkerjasama dengan dia," kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Hattan memberitahu bakal mengadakan konsert bersama Datuk M. Nasir di Sabah International Convention Center (SICC) pada 3 Februari nanti.

2435194

Hattan dan M. Nasir bakal bergabung pada 3 Februari nanti.

Kata Hattan, konsert berkenaan merupakan tanda persahabatan dua instan seni yang sudah sekain lama mencipta nama dan kekal bertahan hingga hari ini.

"Memang ini bakal menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan. Rugi kalau orang tak datang kerana dalam penceritaan konsert ini saya akan kongsi bagaiamana mengenali M. Nasir sehingga saat ini.

"Saya juga pernah tampil dengan album berjudul Palestin Untuk Palestin yang diterbitkan oleh beliau," ujarnya.

Tiket juga sudah mula dijual dengan harga bermula RM188 untuk tempat duduk bebas dan RM988 untuk VIP.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain