PENERBIT Datuk Ayu Puteh masih berada dalam trauma susulan pejabat miliknya yang terletak di Damansara Damai dipecah masuk 29 April lalu. Berkongsi keadaan terkini, Ayu atau Normashayu Puteh, 48, berkata pihak polis masih lagi melakukan siasatan secara terperinci malah tidak menolak sekiranya ada unsur khianat. "Kes pecah pejabat masih lagi dalam siasatan polis... Mereka nampak pelaku mencari sesuatu dan bukan pecah pejabat biasa. Ada unsur-unsur khianat. "Saya masih lagi takut sebab rasanya pencuri itu berdendam dengan saya. Tapi kenapa nak berdendam dengan saya? Kalau ada masalah selesaikan secara baik," katanya kepada mStar. Keadaan pejabat Ayu selepas dipecah masuk perompak. Menurut Ayu, dia bukan sahaja hilang wang ringgit malah cakera keras drama Di Sebalik Dia turut lesap. Katanya cakera keras tersebut merupakan bahan bukti mahkamah yang tersimpan rapi namun berjaya dibawa lari pencuri berkenaan. "Ada banyak lagi benda berharga macam kamera yang betul-betul mahal. Dia hanya ambil duit dan tiga peti besi dikopak. "Pihak polis andaikan itu bukan kerja perompak biasa tapi sudah biasa buat kerja itu. ARTIKEL BERKAITAN: 3 unit pejabat kena pecah masuk, Ayu Puteh berputih mata lesap RM100,000 ARTIKEL BERKAITAN: Ayu Puteh kongsi perkenalan Azri Iskandar dan usahawan bergelar Datuk, anak-anak bagi restu tamat zaman duda "Saya pun terkejut dengan barang-barang yang hilang bila hard disk drama Di Sebalik Dia sebanyak 26 episod juga dibawa lari. "Master footage yang sememangnya milik saya berharga RM900,000 sebab kes saya belum selesai," kongsinya. Dalam pada itu, Ayu juga menyangkal dakwaan sekiranya perbuatan tersebut dilakukan oleh orang terdekatnya. Jelas Ayu, kesemua pekerjanya adalah perempuan malah telah bertahun-tahun berkhidmat. Ayu memberitahu kejadian itu ada kemungkinan disebabkan khianat. "Saya tak rasa ia melibatkan orang dalam sebab pekerja sudah lama berkerja dengan saya dan mereka perempuan. "Sekarang mereka pun macam takut-takut nak ke pejabat tapi pihak polis masih lagi meronda kawasan itu," kongsinya. Pada 29 April lalu, Ayu terpaksa berputih mata apabila menanggung kerugian lebih RM100,000 selepas pejabatnya dipecah masuk. Menurutnya dia mula menyedari kejadian tersebut sekitar pukul 9 pagi ketika kakitangannya sampai ke premis berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!