PENGARAH Erma Fatimah individu bertanggungjawab mengasah kebolehan pelakon Lim Mei Fen menguasai bahasa Melayu dengan baik. Imbau Mei Fan, 36, Erma kerap memarahinya kerana tidak fasih menggunakan bahasa kebangsaan sehingga dia mendapat gelaran ‘sengkuang’ daripada pengarah tersebut. Bagaimanapun katanya, dia kini berbangga kerana lancar melontarkan dialog dalam bahasa Melayu berbanding 10 tahun lalu. Mei Fen pernah digelar sengkuang kerana tidak fasih berbahasa Melayu. “Masa kali pertama saya berjumpa Erma saya hanya tahu cakap ‘nama saya Lim Mei Fan’ sahaja. “Ketika terlibat dalam pementasan teater Takhta 3 Ratu sekitar 10 tahun lalu, setiap hari Erma akan marah saya sebab tak pandai bertutur dalam bahasa Melayu. “Tapi sekarang saya bersyukur sebab dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik,” katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Mei Fen Lim berubah selepas bergaul dengan bangsa lain ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tempatan takut nak dekat, ‘Mat Salih’ berjaya tambat hati Thanuja Cerita Mei Fen lagi, dia juga pernah terasa hati dengan sikap Erma yang disangka pilih kasih hanya kerana dia berbangsa Cina. Bagaimanapun pujian diberikan Erma terhadapnya dihadapan tetamu di sebuah sidang media membuatkan dia gigih memperbaiki diri dan memantapkan penguasaan bahasa Melayu. “Ketika itu saya fikir mungkin Erma tak suka saya sebab saya berbangsa Cina... Saya malas nak fikir dan hanya buat kerja saya. Tambahan pula saya tiada niat nak terjun dalam industri hiburan Melayu. Mei Fen kini tidak gentar bawa dialog bahasa Melayu. “Tapi dia tiba-tiba memuji saya dihadapan rakan media dengan memberitahu saya gigih belajar menguasai bahasa Melayu untuk karakter Puteri Hang Li Po sehingga saya menangis. “Kemudian saya sedar Erma ibarat harimau yang garang! Mulutnya saja seperti itu tetapi hatinya macam seorang ibu,” kongsinya. Menurut Mei Fen, kenangan tersebut kembali menerjah mindanya apabila melihat kelibat Erma hadir ke tayangan perdana filem Padu yang diadakan pada 29 Mei lalu. Mei Fen tunjukkan kebolehannya menerusi filem Padu. Malah tunjuk ajar dan pesanan Erma turut diterjemahkan dalam wataknya dengan baik sebagai jurulatih Yoong dalam filem tersebut. Selain Mei Fen, Padu arahan Faisal Ishak turut dibintangi oleh Fify Azmi, Jojo Goh, Thanuja dan Datin Seri Umie Aida. Filem yang bakal ditayangkan 6 Jun ini bakal mengangkat kisah sebenar perjalanan pasukan bola keranjang wanita ke Sukan Sea di Myanmar pada 2013, Sukan SEABA 2014 di Semarang, Indonesia dan Sukan Sean 2015 di Singapura. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!